Jumaat, 7 Ogos 2015 | 2:24pm

Anuar Zain cadang undang-undang jenayah siber diwujudkan

KUALA LUMPUR : Penyanyi Anuar Zain menegaskan undang-undang jenayah siber perlu diwujudkan seiring dengan arus teknologi masa kini.

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 45, berkata, kebebasan bersuara di laman sosial semakin meruncing dan mampu merosakkan akhlak serta meruntuhkan ummah jika tidak dibendung.

Beliau bagaimanapun tetap dengan pendiriannya untuk tidak memiliki sebarang akaun media sosial.

Anuar menganggap aib individu tidak harus didedahkan di laman sosial kerana ia dikategorikan sebagai menjatuhkan maruah seseorang.

"Media sosial semakin menggerunkan kerana orang ramai terlalu bebas untuk bersuara tanpa batasan. Saya tertanya-tanya kenapa tiada undang-undang jenayah bagi menyekat anasir negatif di laman sosial.

"Sudah tiba masanya masyarakat kita dididik untuk bersikap bijak dan bertamadun. Bagi saya, mereka yang berani meluahkan rasa hati menggunakan akaun palsu adalah pengecut.

"Kalau anda ingin mengatakan sesuatu, katakan terus kepada saya. Bukan dengan membuka aib orang di ruangan komen kerana ia hanya akan menjatuhkan air muka orang itu saja," katanya kepada BH Online.

Pelantun lagu Teman Terulung itu menjelaskan, beliau tidak ralat digelar ketinggalan zaman hanya kerana tidak memiliki akaun sosial miliknya sendiri. Bagi Anuar, kebijaksanaan dan kematangan seseorang itu dinilai melalui tahap pemikiran individu itu sendiri.

"Pelbagai platform disediakan untuk menjadikan seseorang itu peka dengan perkara yang berlaku di sekeliling kita. Tidak semestinya kita perlu melekat dengan telefon bimbit semata-mata untuk menjadikan kita mengetahui informasi terkini.

"Malah saya kurang senang dengan sikap individu yang mengambil gambar saya tanpa meminta izin. Selain kurang beradab, individu itu turut membahayakan keselamatan dan mengganggu privasi saya dengan menyebarkan gambar itu sesuka hati.

"Privasi itu bukan hanya tertakluk kepada artis atau selebriti semata-mata, sebaliknya orang awam juga mempunyai hak untuk mempunyai privasi sendiri. Media sosial melupuskan istilah privasi yang menjadi hak setiap insan," tegas Anuar.

Dalam perkembangan terkini, beliau turut meluahkan rasa terujanya untuk membuat persembahan di konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta anjuran Islamic Relief Malaysia dengan kerjasama Mawlaya Network Sdn Bhd.

"Saya akan menyanyikan tiga lagu di malam konsert itu nanti. Tujuan utama saya adalah untuk menerapkan elemen kasih sayang yang saya lihat semakin pudar di kalangan masyarakat masa kini," katanya.

Selain itu, beliau turut berkongsi album terbaharunya dijangka bakal berada di pasaran akhir tahun ini. Album yang memuatkan lapan buah lagu itu adalah kolaborasi antara komposer tempatan dan Indonesia.

"Insya-Allah, album saya dijangka berada di pasaran akhir tahun ini. Kebanyakan lagu yang dimuatkan dalam album itu nanti kebanyakannya ciptaan komposer tempatan.

"Salah satu lagu yang dimuatkan dalam album itu nanti berjudul Belahan Hati. Setakat ini itu saja yang boleh saya kongsikan kerana selebihnya akan diberitahu lebih lanjut apabila tiba masanya kelak," kata Anuar mengakhiri wawancara.

Berita Harian X