Jumaat, 7 Ogos 2015 | 1:12pm
PEMAIN Vojvodina, Bojan Nastic (kanan) berebut bola dengan pemain Sampdoria, Luis Muriel pada saingan Liga Europa di Novi Sad, awal pagi tadi. - Foto EPA

Liga Europa: West Ham, Sampdoria antara tersingkir


PEMAIN West Ham United, Lewis Page (kanan) bersaing dengan pemain Astra Giurgiu, Gabriel Enache pada aksi Liga Europa di Giurgiu, Romania, awal pagi tadi. - Foto AP

PARIS: Keputusan pengendali West Ham, Slaven Bilic yang menyenaraikan pemain muda dan kurang berpengalaman memakan diri apabila tersingkir di pusingan kelayakan ketiga Liga Europa, awal pagi tadi.

Pada perlawanan timbal balik kedua, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tunduk kepada kelab Romania, Astra Giurgiu 2-1.

The Hammers yang mensia-siakan peluang untuk mencatat kemenangan pada perlawanan pertama sekalipun mendahului dengan dua gol tersingkir menerusi agregat 4-3.

Semuanya bermula baik buat West Ham yang membuka tirai jaringan menerusi pemain baharu, Manuel Lanzini seawal minit ketiga perlawanan.

Begitupun, dua gol awal dalam tempoh tiga minit yang diledakkan kapten Giurgiu, Constantin Budescu pada minit ke-33 dan 36 mengecewakan Hammers.

Bilic ketika ditemui mempertahankan keputusannya untuk merehatkan pemain-pemain utamanya bagi menghadapi perlawanan pembuka tirai EPL bertemu Arsenal, Ahad ini.

"Ia pengalaman yang baik buat beberapa pemain muda kami namun dan beberapa pemain yang beraksi hari ini juga menunjukkan mereka boleh dihrapkan," kata Bilic.

"Kami memiliki musim yang besar di depan kami yang bermula pada Ahad dan kami akan beraksi baik di EPL dan saya amat yakin dengannya."

Dalam pada itu, kelab Jerman, Borussia Dortmund yang juga naib juara Liga Juara-Juara Eropah pada 2013 melangkah mudah apabila mencatat kemenangan 5-0 ke atas kelab Austria, Wolfburg.

Dalam pada itu, kelab Itali, Sampdoria juga tersingkir sekalipun mencatat kemenangan 2-0 ke ats kelab Serbia, Vojvodina.

Sampdoria gagal bangkit selepas mencatat kekalahan 4-0 di laman sendiri dan tersingkir dengan keputusan 4-2. - AFP

Berita Harian X