Jumaat, 7 Ogos 2015 | 12:04am

Hikmah Al-Quran: Sayang Rasulullah terhadap ummah


BERSELAWAT tanda cintakan Rasulullah.

NABI Muhammad diberi syafaat bantu umat dan seluruh manusia pada hari kebangkitan

FIRMAN Allah SWT: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Surah Al-Ahzab, ayat 56)

Rasulullah SAW diutuskan membawa segala bentuk kebaikan dan berita gembira untuk orang mukmin serta amaran kepada orang kafir. Rasulullah SAW sangat menginginkan kaumnya mendapat petunjuk.

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman." (Surah At-Taubah, ayat 128)

Berdakwah sedaya upaya

Baginda berasa amat sedih kepada sesiapa saja yang keluar daripada garis keimanan. Baginda memberatkan dirinya dalam urusan dakwah mengatasi kemampuan yang ada bahkan melebihi apa yang dituntut kepadanya.

Sehinggakan Allah berfirman: "Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan al-Quran ini." (Surah Al-Kahfi, ayat 6) Seperti diketahui, Baginda tidak dituntut melainkan untuk menyampaikan risalah manakala hidayah itu adalah kurniaan dan pilihan Allah SWT. Oleh kerana terlalu mengharapkan petunjuk untuk kaumnya, Allah menegur Baginda kerana membebankan dirinya sendiri.

Teguran di sini bukan kerana kesilapan yang dilakukan tetapi kerana kebaikan dimiliki Baginda. Ia umpamanya teguran seorang bapa kepada anaknya yang terlalu kuat belajar tanpa mengira siang dan malam, tanpa ada waktu rehat.

Teguran itu bukan kerana kelemahannya ataupun kesilapannya tetapi kerana perbuatan berkenaan mengatasi kemampuannya.

Jika beginilah sayangnya Rasulullah SAW terhadap umatnya, maka sewajarnya umat berselawat kepada Baginda kerana setiap kebaikan yang diperoleh Nabi akhirnya turut diperoleh dan dinikmati umatnya.

Jika Allah SWT sendiri berselawat dan malaikat turut berselawat kepada Baginda, apatah lagi kita sebagai umatnya, wajib untuk berselawat ke atas Baginda.

Selawat Allah memberi maksud rahmat-Nya yang menyeluruh. Antara bentuk rahmat Allah terhadap Nabi Muhammad ialah menjadikan Baginda Nabi dan Rasul yang terakhir. Selain itu, Rasulullah menerima syafaat Allah pada hari kebangkitan bukan untuk umatnya saja bahkan seluruh manusia.

Doa malaikat

Di samping itu, Allah memanggil rasul-rasulnya dengan nama masing-masing akan tetapi Allah memanggil Nabi Muhammad SAW dengan gelaran wahai Nabi, wahai Rasul, dan wahai orang yang berselimut.

Adapun selawat malaikat pula memberi makna doa. Firman Allah SWT: "Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya; dan beriman kepada- Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! Rahmat- Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka." (Surah Ghafir, ayat 7) Jika malaikat itu sentiasa memohon keampunan berdoa kepada semua manusia termasuk orang yang melakukan dosa kemudian mereka bertaubat apatah lagi kita dengan Rasulullah SAW yang membawa obor keimanan kepada seluruh umat manusia.

Maksud selawat daripada orang Mukmin ialah istighfar. Istighfar mereka bukan untuk Rasulullah SAW tetapi untuk diri mereka sendiri kerana kedatangan Rasulullah SAW adalah untuk memberi rahmat kepada mereka.

Sebenarnya apa yang kita mampu berikan kepada Nabi. Kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa. Cuba perhatikan lafaz selawat, kita tidak menyebut saya berselawat, tetapi kita menyebut "Ya Allah, selawatkan ke atas Nabi" ataupun "Allah selawatkan ke atas Muhammad".

Kelebihan berselawat

Seorang sahabat Rasulullah SAW bertemu Baginda dan berkata: "Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat kegembiraan dan keceriaan di wajahmu seperti ini sebelum ini. Rasulullah SAW menjawab: Sesungguhnya Jibril datang kepadaku dan memberitahu barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, nescaya Allah berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat dan ditulis kepadanya sepuluh kebaikan dan dihapuskan sepuluh kejahatan." (Riwayat Bukhari)

Sebahagian ulama menyebut, berselawat kepada Nabi adalah satu kefarduan seperti menunaikan haji sekali seumur hidup tetapi ia wajib ketika nama Rasulullah SAW disebut.

Sabda Rasulullah SAW: "Orang yang paling bakhil ialah sesiapa yang disebut namaku di sisinya tetapi tidak berselawat ke atasku." (Riwayat Ahmad)

Ungkapan salam yang kita sampaikan kepada Nabi adalah lafaz yang kita ucapkan dalam tasyahud solat. Taslim atau salam turut memberi maksud kepatuhan kepada perintah Nabi SAW. Apa makna berselawat kepada Nabi tetapi terus menerus ingkar perintahnya dan tidak menjadikan manhaj kehidupan Nabi sebagai panduan.

412 dibaca
Berita Harian X