Khamis, 6 Ogos 2015 | 6:40pm

Peluang rebut gelaran juara dunia lebih terbuka - Chong Wei


CHONG Wei (kiri) dan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost di KLIA, Sepang sebelum berlepas ke Kejohanan Dunia BWF 2015 di Jakarta.- Foto Goh Thean Howe

SEPANG: Pemain badminton utama negara, Datuk Lee Chong Wei mahu menjadikan Kejohanan Dunia kali ini sebagai pentas kembalinya dia menguasai aksi pada saingan tahap tertinggi, setahun selepas imejnya tercalar ekoran kegagalan dalam ujian doping.

Bagi Chong Wei, selain misi memburu gelaran dunia, ia juga bagi memperbaiki kedudukannya yang kini di posisi 45 dunia, sambil mengutip mata kelayakan untuk ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Chong Wei mengakui saingan perseorangan lelaki pada di Kejohanan Dunia di Stadium Istora Senayan, Jakarta pada 10 hingga 16 Ogos ini, lebih terbuka berbanding beberapa edisi sebelum ini.

Baginya, kehadiran pemain muda seperti Chou Tien-chen dari Taiwan, Kento Momota (Jepun), K.Srikanth (India) dan pemain Denmark, Jan O Jorgensen, menyaksikan perebutan kejuaraan edisi ini tidak hanya tertumpu kepadanya dan pemain China, Chen Long dan Lin Dan saja.

"Kali ini peluang lebih terbuka. Ramai muka baru yang muncul. Sudah tidak macam dua tiga tahun lepas, orang tertumpu kepada saya dan Lin Dan. Saya rasa ini satu kejohanan yang bagus di Jakarta.

"Saya harap semua orang boleh buat yang terbaik namun saya letakkan hasrat untuk harumkan nama negara," katanya.

Chong Wei yang tidak diletakkan sebagai pilihan di kejohanan kali ini akan menentang Kestutis Navickas dari Lithuania di perlawanan pertamanya.

Ujian sebenarnya bermula di pusingan ketiga dengan pilihan kelapan dari China, Wang Zhengming menantinya diikuti Srikanth dan musuh ketatnya, Lin Dan yang dijangka menjadi lawannya masing-masing di suku dan separuh akhir.

Ini juga adalah aksi pertama Chong Wei dalam kejohanan Tahap Satu selepas bebas daripada penggantungan pada Mei lalu kerana hanya menyertai pertandingan Tahap Tiga iaitu Grand Prix Kanada, dua kejohanan Grand Prix Emas iaitu di Amerika Syarikat dan Taiwan, selain Sukan SEA Singapura.

Pada Insiden di Kejohanan Dunia Copenhagen, Denmark akhir Ogos tahun lalu menyaksikan dia digantung lapan bulan sebelum kembali ke pentas utama itu bagi memburu gelaran yang tidak pernah dimiliki biarpun dua kali muncul naib juara. - BERNAMA

Berita Harian X