Selasa, 4 Ogos 2015 | 2:26pm

FGV unjur kajian pembelian EHP Indonesia siap hujung bulan ini

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menjangkakan kajian daya maju mengenai cadangan pengambilalihan PT Eagle High Plantations (EHP) akan siap akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, berkata setakat ini kajian daya maju itu sudah 75 peratus siap.

Beliau berkata, kajian itu akan dibentangkan kepada pemegang saham FGV pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang tarikhnya akan diumumkan nanti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Laporan Lawatan Ke Banjarmasin Dan Jayapura Indonesia 8-11 Julai 2015 di sini hari ini.

Majlis itu diadakan sempena Majlis Lembaran Kasih Yayasan Felda.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

EHP adalah anak syarikat konglomerat terkemuka Indonesia, Rajawali Group.

Pada Jun lalu, FGV dan Rajawali Group memeterai Perjanjian Dasar Induk (HoA) untuk mengambilalih 37 peratus kepentingan dalam EHP dan 93 peratus hingga 95 peratus kepentingan dalam projek gula Rajawali Group.

Pengambilalihan 37 peratus kepentingan EHP dijangka bernilai AS$680 juta secara tunai dan pertukaran saham.

FGV akan membayar secara tunai AS$632 juta untuk 30 peratus kepentingan dan penerbitan saham baharu sebanyak 95 juta unit untuk baki tujuh peratus kepentingan berdasarkan harga saham RM1.86 bersamaan AS$47 juta, iaitu kira-kira 2.6 peratus saham FGV.

FGV juga akan mengambil alih antara 93.3 peratus hingga 95 peratus kepentingan dalam projek gula Rajawali Group yang dianggarkan bernilai AS$67 juta secara tunai.

11 dibaca
Berita Harian X