Isnin, 22 September 2014 | 10:52am

Genre permotoran kuasai filem tempatan


POSTER filem aksi permotoran, Bikers Kental.

FILEM ada pelbagai genre untuk memenuhi cita rasa penonton. Sejak kebelakangan ini, industri filem tempatan khususnya filem Melayu lebih cenderung kepada genre seram, komedi dan aksi.

Tiga genre ini pula digabungkan dengan sub-genre yang pelbagai seperti drama, heavy drama, muzikal, thriller dan suspen bagi memenuhi kehendak produser, pengarah dan pelakon, selain memenuhi tuntutan komersial supaya ia mampu mendapat maklum balas baik penonton.

Satu daripada genre mahupun sub-genre dihasilkan ialah filem yang menyajikan aksi permotoran khususnya motosikal (kapcai) atau kereta, dilihat lebih mudah menarik perhatian kaki wayang, terutama anak muda yang rajin menonton filem Melayu, biasanya menggunakan genre aksi komedi, aksi drama mahupun aksi seram.

Sejak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) melonggarkan syarat pembikinan filem bercorak aksi merbahaya terutama membabitkan gejala sosial remaja seperti 'mat rempit' diklasifikasi 18PL (18 tahun ke atas saja, untuk bahan mengandungi kandungan yang lebih dewasa, unsur ganas, seram dan seks yang tidak keterlaluan atau menyentuh unsur sensitif politik, agama serta kebudayaan), filem dari genre ini terus digilai remaja.

Buktinya, filem genre aksi sebegitu yang kembali memasuki pawagam tanah air sejak tahun 2006 mencatat kutipan paling tinggi tahun itu. Filem terbitan MIG Production Sdn Bhd berjudul Remp-it lakonan Farid Kamil dan Julia Hana berjaya mengutip RM4 juta.

Elemen permotoran

Begitu juga carta 20 filem terbaik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), hampir separuh menerapkan elemen permotoran, selebihnya genre berbeza seperti komedi, seram, romantik, drama, psycho thriller dan animasi tanpa elemen 'mat motor', drift atau seumpamanya.

Statistik FINAS membabitkan jumlah kutipan tiket di pawagam sejak tahun 2006 hingga penghujung tahun lalu membabitkan filem memuatkan elemen mat motor tidak pernah mengecewakan kerana sentiasa mendapat tontonan ramai seperti KL Gangster (RM12 juta), Hantu Bonceng (RM8.5 juta), Kongsi (RM8 juta), Adnan Sempit (RM7.66 juta) dan Adnan Sempit 2 (RM7 juta). Selain itu, KL Drift (RM5.8 juta), Jalan Kembali (RM5 juta), Mael Lambung (RM5 juta), Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam (RM4.5 juta), Evolusi KL Drift (RM4 juta), V3-Samseng Jalanan (RM4 juta) dan Hantu Kapcai (RM3.5 juta).

Daripada 77 judul filem ditayangkan pada tahun 2012, hanya 38 judul mengutip kutipan di bawah RM1 juta. Kejatuhan itu disusuli tahun lalu apabila daripada 71 filem ditayangkan, 27 filem mencecah RM1 juta ke atas, selebihnya, 44 judul gagal.

Meskipun tahun 2012 dan 2013 mengejutkan ramai produser filem dengan kemerosotan jumlah kutipan tiket, ia disebabkan beberapa faktor dengan filem genre permotoran seperti Adnan Sempit 2 terus memonopoli carta teratas dengan kutipan RM7 juta.

Begitupun bagi membuka lembaran tahun 2013, enam bulan pertama menyaksikan genre komedi/seram iaitu Husin, Mon & Jin Pakai Toncit mencatat RM5.89 juta. Bikers Kental pula mencatat RM2.72 juta yang menelan kos pembikinan RM1.9 juta.

Ini membuktikan cita rasa penonton terhadap filem bercorak aksi permotoran dipengaruhi faktor usia penonton. Lebih jelas apabila majoriti penonton adalah remaja berusia 18 hingga 35 tahun. Sambutan terhadap filem jenis sedemikian juga membabitkan faktor persekitaran, psikologi dan cita rasa penonton itu sendiri seperti dibuktikan menerusi kajian mahupun realistik kehidupan sosial remaja masa kini.

Terbina sejak usia kanak-kanak

Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, menyifatkan aliran remaja meminati filem genre permotoran terbina secara langsung oleh semua individu sejak usia kanak-kanak.

"Terdapat banyak faktor yang mendorong filem dari genre permotoran ini digilai khususnya remaja kerana ia sudah terasuh sejak kecil lagi dengan keadaan persekitaran. Sifat pengeluaran diri yang dilalui setiap kanak-kanak menjurus kepada sifat soft and furious yang meminati kelajuan.

"Semakin membesar mereka akan melalui era teknologi bermula permainan digital, diikuti era fizikal di mana diperkenalkan permainan alat kawalan jauh untuk kanak-kanak. Sehingga kini semakin banyak permainan dan gajet dalam bentuk tiga dimensi mudah diperoleh terutama membabitkan perlumbaan dan pertarungan," katanya.

Pada tahun 2007, FINAS mengeluarkan kajian mengenai penonton dan mendapati lebih 60 peratus penonton remaja berusia 16 hingga 29 tahun. Sehingga kini tiada lagi kajian membabitkan usia penonton yang mengunjungi pawagam. Tambah Mohamed, ada lima golongan penonton remaja yang cenderung mengunjungi pawagam, sama ada peminat tegar semua genre filem atau yang memilih satu genre filem saja.

"Saya melihat kelompok remaja berusia 15 hingga 35 tahun penyumbang besar khalayak pawagam. Jika filem itu dekat dengan diri mereka bermakna filem itu bakal berjaya dari segi kutipan tiket. Bagaimanapun, terdapat lima golongan remaja yang meminati filem aksi seperti penonton tegar, penonton setia, penonton yang ikut rakan, penonton yang baru meminati dan kumpulan atas pagar yang mengikut saja," katanya kepada BH.

Justeru, masa depan industri filem tempatan mampu diperkayakan dengan penerbitan filem genre aksi memandangkan genre ini tidak menuntut diterbitkan mengikut musim. Dengan kehadiran khalayak penonton remaja yang pasti datang dan pergi, produser tempatan masih mampu menjana pendapatan yang baik.

Tidak salah bagi produser filem menghasilkan lebih banyak filem permotoran yang diakui sememangnya menjadi selera khalayak penonton khususnya remaja. Di Hollywood, filem dari genre ini tidak pernah gagal di pawagam seluruh dunia dan masih diterbitkan sehingga hari ini.

Begitupun ia perlu mendapat suntikan kreativiti mengikut perkembangan terkini, selain produser tempatan harus mengambil kira tanggungjawab sosial dan semangat integrasi nasional yang dapat memberi manfaat dalam menerapkan nilai murni kepada penonton. Pastinya industri perfileman tempatan mampu diperkayakan lagi, sekali gus membantu kerajaan di dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

INFO

Kutipan filem dari genre permotoran

2014 - Adnan Sempit Sawadikap (RM1.3 juta)

2013 - KL Gangster 2 (RM4.96 juta)

- Adnan Sempit 3 (RM3.94 juta)

- Bikers Kental (RM2.72 juta)

2012 - Adnan Sempit 2 (RM7 juta)

- Jalan Kembali (RM5 juta)

- Mael Lambung (RM5 juta)

- Hantu Kapchai (RM3.5 juta)

2011 - KL Gangster (RM12 juta)

- Hantu Bonceng (RM8.5 juta)

- Kongsi (RM8 juta)

2010 - Adnan Sempit (RM7.66)

- V3 - Samseng Jalanan (RM4 juta)

- KL Drift (RM5.8 juta)

2009 - Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam (RM4.5 juta)

2008 - Evolusi KL Drift (RM4 juta)

2006 - Remp-It (RM4 juta)

Berita Harian X