Ahad, 2 Ogos 2015 | 12:13am

Kes doping dunia sukan negara tak kritikal - ADAMAS


KES doping atau penggunaan bahan terlarang membabitkan ikon sukan negara yang juga jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei, tahun lalu menyaksikan 'populariti' Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) meningkat secara mendadak.

Apa tidaknya, agensi di bawah Institut Sukan Negara (ISN) yang sebelum ini tidak begitu dikenali, terpaksa memikul bebanan besar selain turut dipersalahkan akibat kes yang melanda atlet nombor satu negara itu.

Selain kes doping membabitkan Chong Wei, kes yang dianggap berprofil tinggi pada 2014 adalah yang membabitkan pemenang pingat emas acara wushu di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan, Tai Cheau Xuen.


PENGARAH Pusat Kawalan Doping, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Mohamed Isa Abd Majid. - Foto Danial Saad

Sebagai rekod, sebanyak 14 kes dilaporkan sepanjang 2014 termasuk membabitkan Olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA), Jenilie Empera yang beraksi dalam acara angkat berat.

Hasilnya, kes doping pantas diangkat menjadi isu nasional kerana membabitkan nama baik negara sehingga dibangkitkan ke Parlimen.

Berikutan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan perang besar-besaran dengan semua atlet ke temasya Sukan SEA 2015 di Singapura diwajibkan untuk menjalani ujian doping.

Semua atlet individu menjalani ujian manakala 50 peratus daripada atlet berpasukan turut menjalani ujian secara rambang. Keseluruhannya lebih 500 atlet disaring sebelum temasya berlangsung.


PENSYARAH Kanan, Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Nazri Ismail. - Foto Danial Saad

Ketua Unit ADAMAS, Nishel Kumar mengakui apa yang berlaku kepada Chong Wei dan Cheau Xuen sebagai titik hitam dalam sukan negara namun menegaskan apa yang terjadi ada hikmahnya.

Malah beliau turut menyifatkan pendapat beberapa pihak yang menyifatkan kes doping di Malaysia sebagai 'tenat' sebagai tidak benar dan pelbagai inisiatif sudah dijalankan bagi menghalang kes terbabit daripada berlaku.

Baginya, sekalipun statistik kes doping pada 2014 menunjukkan peningkatan berbanding enam pada 2013, ia belum lagi di tahap yang membimbangkan.

"Benar tahun lalu adalah paling buruk bagi kes doping di Malaysia dengan kita memiliki 14 kes. Begitupun, daripada 14 kes itu, lapan daripadanya daripada sukan bina badan.


PEGAWAI sains melakukan proses ujian air kencing di Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USM). - Foto Danial Saad

"Jika kita tolak lapan itu, hanya tinggal enam dan selepas tolak Chong Wei dan Cheau Xuen, hanya empat lagi kes yang berlaku di SUKMA. Bagi saya, secara keseluruhan, ia belum boleh ditakrifkan sebagai membimbangkan, cuma untuk sukan bina badan ia agak membimbangkan namun ia bukan sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik.

"Dalam kes Chong Wei, disebabkan dia adalah atlet bertaraf dunia, memiliki nama dan reputasi yang besar, kesnya menjadi besar kerana jika kesalahan yang sama terjadi kepada atlet lain, ia mungkin tidak sebesar ini.

"Ia ditambah pula dengan pemenang pingat emas di Sukan Asia Incheon, Cheau Xuen yang ditarik balik. Untuk kedua-dua kes ini juga, ia tidak membabitkan penggunaan bahan merangsang prestasi malah bagi kes Cheau Xuen, ia adalah disebabkan kecantikan," katanya.

Sambil menegaskan kewujudan ADAMAS bukan jaminan atlet negara bebas doping, Nishel mengakui apa yang terjadi tahun ini sebagai membuka mata atlet-atlet di Malaysia.

"Satu bahagian saya gembira. Bagi kes Chong Wei, ia beri pendedahan kepada semua atlet. Ramai atlet selepas kes ini datang merujuk kepada kami untuk menguji bahan yang diberikan oleh jurulatih kepada mereka. Selepas memperoleh pelepasan, barulah kita benarkan mereka menggunakannya," katanya.


PEGAWAI sains melakukan proses ujian air kencing di Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USM). - Foto Danial Saad

Mengulas mengenai kes doping membabitkan atlet SUKMA, Nishel menjelaskan ia bukan tanggungjawab penuh ADAMAS malah pihaknya sudah melakukan segala yang diperlukan.

"SUKMA lebih kepada pelajaran. Kita tidak boleh melakukan ujian secara menyeluruh kerana ia membabitkan jumlah yang terlalu ramai.

"Bagi kes membabitkan Olahragawati SUKMA Perlis, sejauh mana kefahaman atlet berusia 17 tahun mengenai doping dan mungkin ada pihak lain yang memberinya sesuatu.

"Kita perlu faham apa yang atlet berusia 17 tahun faham mengenai steroid. Perkara ini mungkin berkaitan dengan pihak ketiga dan kita juga sudah meneliti perkara ini," katanya.

INFO

Rentetan kes doping Chong Wei

- Chong Wei disahkan positif menggunakan bahan terlarang jenis dexamethasone ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos 2014.

- Sebelum itu, Chong Wei mengalami kecederaan paha sebelum beraksi di Copenhagen adalah tanggungjawab ISN sepenuhnya yang kemudian merujuk kepada sebuah klinik swasta di ibu negara.

- Dikenakan hukuman penggantungan selama lapan bulan yang berakhir 14 April 2015.

ADAMAS

Agensi Anti Doping Malaysia

- Ditubuhkan pada 1997

- Berada di dalam unit di ISN dan dijadualkan dipisahkan daripada badan induk itu hujung tahun ini

Peranan dan tanggungjawab ADAMAS

- Merancang, menyelaras dan melaksanakan program kawalan doping yang berkesan

- Melaksanakan pendidikan dan kesedaran anti doping dalam aktiviti sukan

- Menjalankan penyiasatan dan risikan terhadap doping dalam aktiviti sukan bersama pihak berkuasa di Malaysia

- Bekerjasama dengan badan-badan anti dadah antarabangsa.

- Memantau semua pihak berkepentingan untuk mematuhi peraturan Anti-Doping ADAMAS, Anti -Doping Peraturan dan WADA.

- Memelihara integriti sukan bebas dadah di Malaysia dan berusaha keras ke arah mewujudkan atlet yang sihat dan adil.

22 dibaca
Berita Harian X