Sabtu, 1 Ogos 2015 | 12:02am

Resipi sambal roboh

SAMBAL antara juadah yang mudah disediakan dan enak dinikmati bersama nasi putih, lempeng, pulut serta dicicah dengan roti.

Malah, tanpa lauk pauk lain ia tetap sedap dan mampu membuka selera, lebih-lebih lagi jika padanan hidangan itu masih panas. Pasti, akan membuatkan anda ingin menambah beberapa kali.

Bahan asas membuat sambal ini antaranya ialah cili dan bawang. Tetapi jika anda ingin mempelbagaikan cita rasa atau menambahkan daya kreatif memasak, bolehlah menambah bahan ramuan utama lain seperti ikan bilis, daging, ikan, udang, kerang dan sebagainya. Untuk bahan sampingan lain, ada juga yang mencampurkan petai, santan, belimbing buluh dan sebagainya.

Bagi tahap rasa pedasnya pula, terpulanglah kepada cita rasa masing-masing. Jika inginkan rasa lebih pedas, lebihkan sedikit cili tetapi jika tidak tahan dan bimbang perut meragam, cukuplah diletakkan sedikit saja.


SAMBAL Roboh resipi Cef Yang Jamil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Boleh disimpan lama

Bagi yang anda yang baharu hendak cuba-cuba belajar memasak, mungkin boleh mencuba resipi Sambal Roboh yang dikongsikan oleh Cef Yang Jamil atau nama sebenarnya, Khir Jamil Yang Ghazali.

Khir berkata, resipi sambal daripada ikan bilis ini amat mudah disediakan. Resipi ini menjadi pilihan kebanyakan orang untuk bersahur ketika bulan Ramadan kerana hidangan ini boleh disimpan lama di dalam peti sejuk atau dibiarkan pada suhu bilik, selain menggunakan bahan asas.

Jadi, apa kata cuba resipi ini sebagai hidangan pembuka selera kerana hidangan tidak menjemukan, membangkitkan selera dan cukup rasa manis, pedas dan masin.


BAHAN-BAHAN yang diperlukan untuk membuat Sambal Roboh resipi Cef Yang Jamil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bahan-bahan

 

100 gram Ikan bilis

Seulas bawang merah

Tiga biji limau kasturi (boleh gantikan dengan asam jawa)

Dua tangkai cili merah

Setengah genggam cili api

Sedikit garam

Minyak masak untuk menumis

Cara menyediakannya:

1. Bawang merah, cili merah dan cili padi dihiris kasar.

2. Goreng ikan bilis hingga garing, (pastikan ikan bilis ditoskan selepas dicuci bersih).

3. Apabila ikan bilis garing, masukkan bawang merah, cili merah dan cili padi. (goreng bahan berkenaan supaya sambal roboh ini bertahan lebih lama)

4. Sejukkan bahan yang digoreng.

5. Tumbuk semua bahan

6. Perahkan limau kasturi untuk memberikan rasa macam semula jadi.

INFO

Tips masak sambal sedap:

  • Sebelum membuat sambal, anda perlulah bijak memilih cili kering yang sesuai. Ini kerana ada yang terlalu pedas dan ada sebaliknya.
  • Guna bawang merah kecil, jangan guna bawang besar. Lebihkan penggunaan bawang ini bagi memastikan rasa sambal itu manis dan enak.
  • Ketika menumis, minyak haruslah banyak. Minyak yang banyak akan membuatkan sambal tahan lama terutamanya sambal ikan bilis.
  • Masa menumis perlulah lama supaya bawang dan cili benar-benar garing dan hilang bau atau rasa maung cili.

Berita Harian X