Rabu, 29 Julai 2015 | 5:18pm

Penganggur maut terperangkap dalam kebakaran

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala lima lagi anggota keluarganya terselamat dalam kebakaran di rumah teres dua tingkat di Jalan Bidara 2, Selayang dekat sini, pagi tadi.

Mayat mangsa Tei Mo Kwan, 46, ditemui dalam keadaan bersujud dan kepalanya ditutup dengan selimut di salah sebuah bilik dalam rumah itu.

Ketua Forensik Bomba Zon Hulu Selangor, Nor Najila Budin, berkata dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi itu, mangsa dipercayai mati akibat sesak nafas kerana menghidu asap tebal dan terperangkap di dalam bilik itu.

"Waktu ditemui (mayat) mangsa berada di satu penjuru bilik dengan keadaan bersujud dengan kepalanya ditutup selimut bagi melindungi dirinya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Nor Najila berkata pemeriksaan bomba mendapati rumah terbabit tidak mempunyai bekalan elektrik dan pihaknya sedang menyiasat punca kebakaran.

Nor Najila berkata, lima lagi anggota keluarga mangsa yang berada di bilik yang lain dapat menyelamatkan diri dan keluar dari rumah itu dengan memecahkan salah satu tingkap.

Lima anggota keluarga mangsa adalah adik lelakinya yang mengalami sesak nafas kerana terhidu asap manakala isteri adik lelaki mangsa dan tiga orang anak mereka tidak mengalami kecederaan.

Dalam kejadian itu, sebanyak dua jentera dari Balai Bomba Selayang dan Rawang dengan kekuatan 17 anggota telah dikerahkan ke tempat kejadian dan tiba pada pukul 6.53 pagi. Api berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Sementara itu, seorang saudara mangsa, Edmond Tan, 33, berkata rumah terbabit merupakan rumah pusaka keluarga mereka dan mangsa serta adik lelakinya telah menetap lebih 20 tahun.

"Mangsa yang juga seorang penganggur tinggal bersama adiknya berusia 36 tahun yang bekerja sebagai mekanik sambilan bersama isteri (31 tahun) serta tiga orang anak mereka berusia antara dua hingga enam tahun.

- BERNAMA

Berita Harian X