Rabu, 29 Julai 2015 | 12:05am

Seni tradisional Kelantan, Jepun serasi


BONEKA Puteri Jepun.

KELIR atau tabir tidak menghalang 'cinta' terjalin antara dua budaya berbeza. Begitulah serasinya dua seni tradisional, wayang kulit Kelantan dan Edo Ito Ayatsuri Ningyo dari Jepun yang dipentaskan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selepas memukau warga Jepun pada Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (TIBF) 2014, pada awal Julai lalu, gabungan pementasan yang menyatukan Raden Lakjuna dengan Puteri Jepun itu, akhirnya menjengah peminat seni tanah air.

Di sebalik perbezaan bahasa, iaitu dialek Kelantan dituturkan Raden Lakjuna dan bahasa Jepun digunakan Puteri Jepun, persembahan yang dibawakan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) itu berjaya mempamerkan 'keintiman' gabungan dua seni tradisional berkenaan.

Pementasan 50 minit berlatarbelakangkan Negeri Kuala Dua dan Negara Matahari Terbit itu menarik perhatian penonton apabila disuntik pembaharuan melalui dialog yang lebih moden dituturkan Raden Lakjuna, sekali gus menggeletek golongan muda turut menghayati seni tradisional berkenaan.


KETUA Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad. - Foto Jeakqleyn Yacho

Cinta pandang pertama

Pementasan bermula di Negeri Kuala Dua apabila Raden Lakjuna memohon kebenaran ayahandanya, Maharaja Sri Rama untuk ke luar negara bagi menimba pengalaman baharu dan diizinkan berbuat demikian dengan ditemani pengasuh, Wak Dogol.

Di Jepun, Raden Lakjuna jatuh cinta pandang pertama dengan Puteri Jepun, tetapi hubungan itu dihalang oleh Raksasa Hanuman sehingga mencetuskan perselisihan antara kedua-duanya.

Jika Raden Lakjuna didalangi Tok Dalang Wayang Kulit Kelantan Istana Budaya (IB), Roslan Harun dari sebalik tabir, Shiokawa Kyoko pula mengawal boneka Puteri Jepun dengan utas benang di hadapan tabir sambil diiringi pemain muzik tradisional Shasimen, Toshiko Nakamura.

Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron, berkata pementasan itu ialah usaha pihaknya mengangkat seni tradisional bangsa seiring dengan langkah memartabat industri perbukuan negara.

"Tradisi ini diangkat seiring dengan dokumentasi mengenai wayang kulit yang dilakukan melalui penerbitan buku oleh ITBM.

"Saya berasakan penerbitan buku saja tidak mencukupi, justeru kami angkat tradisi ini dan cari kelainan dengan menggabungkannya dengan kebudayaan yang berupaya melangkaui sesebuah negara," katanya kepada Sastera BH.


SHIOKAWA Kyoko (kanan) dan Toshiko Nakamura.

Lebih mencabar, tarik perhatian

Sementara itu, Roslan berkata, persembahan gabungan yang pertama kali dibawa ke Malaysia berkenaan, lebih mencabar berbanding pementasan di Jepun yang hanya mengambil masa kira-kira 15 minit.

"Masa untuk latihan agak suntuk, tetapi kami sama-sama berbincang bagi memastikan persembahan bersesuaian dengan kedua-dua seni tradisional ini, selain berupaya menarik perhatian penonton.

"Acara ini susulan daripada kejayaan persembahan di Jepun dan saya amat berterima kasih kepada ITBM kerana gabungan wayang kulit Kelantan dan Edo Ito Ayatsuri Ningyo akhirnya dibawa ke ibu negara untuk dikongsi bersama peminat tempatan," katanya selepas pementasan yang turut mendapat kerjasama IB dan ASWARA.

Bagi Kyoko pula, boneka Jepun mencipta sejarah hampir 400 tahun yang lalu, sekali gus menyifatkan kerjasama yang dijalin dengan wayang kulit Kelantan itu sebagai pembaharuan yang baik.

"Sambutan penonton di negara ini amat menggalakkan, malah mereka lebih telus dan turut sama ketawa apabila dialog melucukan dituturkan sehingga mendorong saya bersemangat untuk mempersembahkan seni ini.

"Meskipun agak sukar merealisasikan gabungan ini pada awalnya, sambutan penonton membuktikan kerja keras kami akhirnya membuahkan hasil," katanya.

Berita Harian X