Selasa, 28 Julai 2015 | 8:56am

Kementerian perketat syarat masuk PISMP

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan mengetatkan syarat kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi memastikan hanya guru berkualiti yang dihasilkan.

Hanya calon yang berada dalam kumpulan 30 peratus teratas bagi kohort Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau mempunyai sekurang-kurangnya 5A dalam SPM layak untuk mengikuti kursus yang ditawarkan.

Penetapan syarat kemasukan ini meletakkan IPG setanding dengan negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik.

Sebagai perbandingan, negara seperti Finland, Hong Kong dan Singapura juga mengehadkan syarat kemasukan guru pelatih kepada hanya 20 peratus hingga 30 peratus graduan lulusan terbaik.

Malah, Korea Selatan menetapkan syarat kemasukan yang lebih ketat iaitu kepada kohort 5 peratus teratas lepasan sekolah tinggi.

Pada 2014, sebanyak 99.8 peratus guru pelatih baharu di IPG memperoleh sekurang-kurangnya gred 5A dalam SPM, manakala selebihnya iaitu 0.02 peratus calon diberikan kelonggaran dari segi syarat kemasukan ke IPG untuk kursus tertentu yang memerlukan bakat, kemahiran dan latar belakang khusus.

Gred A dalam kertas Bahasa Inggeris SPM juga sudah dijadikan syarat kemasukan bagi calon yang bercita-cita untuk menjadi guru Bahasa Inggeris.

Bermula 2014, bagi program Mengajar Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di IPG, 100 peratus calon yang diterima masuk mempunyai gred A dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Graduan dari kursus ini juga perlu memperoleh Band C berdasarkan CEFR sebelum ditempatkan ke sekolah di seluruh negara.

Berita Harian X