Selasa, 28 Julai 2015 | 12:23am
ERRA bersama peminat di majlis sambutan raya kelab peminat Erra. - Foto Ihsan Dmuslim Photostudio (Instagram: @dmuslimphotostudio)

Doakan jodoh terbaik untuk saya - Erra Fazira


KUALA LUMPUR: Pernah berkahwin tetapi jodoh tak panjang, Erra Fazira tidak pernah melihat ketentuan dan suratan hidup itu sebagai penamat kepada segala-galanya.

Cuma dengan apa yang terjadi, ibu kepada Engku Aleesya ini lebih berhati-hati dalam menyusun kata kerana bimbang dianggap terlalu galak bercerita soal peribadi.

Malah bagi pemilik nama penuh Wan Fazira Chek yang berusia 41 tahun ini, soal siapapun calon yang mungkin bertakhta di hatinya pada masa mendatang sama ada lelaki berusia atau muda adalah sesuatu perkara yang tidak mampu dijangka.

Bertemunya baru-baru ini, Erra hanya mengharapkan doa yang terbaik buat masa hadapan kehidupannya.

Isu usia ini berbangkit apabila baru-baru ini timbul cerita juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir baik dengannya. Erra berkongsi isi hatinya ketika berlangsung majlis sambutan raya kelab peminat, Bersama Erra, di Rumah Tamu Datin Halijah, Taman Datuk Senu, Sentul, Ahad lalu.


ERRA Fazira. - Foto Ihsan Dmuslim Photostudio (Instagram: @dmuslimphotostudio)

"Tidakkah soal jodoh itu di tangan Tuhan. Lihat sahaja bagaimana Rozita Che Wan dan Zain Saidin yang berbeza peringkat usia tetapi kini sedang mengecap bahagia. Sejarah Islam sendiri melihat bagaimana Rasulullah SAW berkahwin dengan isteri pertamanya, Siti Khadijah yang dikatakan lebih berusia daripadanya.

"Usia itu bersifat subjektif. Pokok pangkalnya sekarang, doakan terbaik untuk saya. Semuanya berbalik kepada soal ketentuan jodoh. Andai saya ditakdirkan bercinta dengan lelaki muda sekalipun, saya tak mampu melawan kehendak takdir," kata Erra yang hadir sedondon berbaju kuning rekaan Qudyn dengan anak tersayang, Engku Aleesya.

Ketika majlis berlangsung, peminat turut mengajukan pandangan untuk melihat Erra bergandingan dengan pelakon, Syarul Ridzwan. Erra sempat berseloroh mengatakan aktor yang mempunyai iras Aaron Aziz itu terlalu muda untuk berlakon di sisinya. Bagaimanapun Erra menjelaskan, dia bagaimanapun akan berlakon di sisi aktor Remy Ishak.

Pernah berkongsi pentas yang sama dengan Remy Ishak ketika sama-sama membintangi teater Takhta 3 Ratu hujung tahun lalu, takdir akhirnya kembali menyatukan Erra dengan pelakon berbakat besar itu sekali lagi. Buat pertama kali Erra dan Remy akan berlakon di kaca TV menerusi telefilem Tasbih Biru arahan Azma Aizal Yusoof bagi siaran Astro Oasis.


ERRA menyuapkan kek kepada anaknya, Engku Aleesya. - Foto Ihsan Dmuslim Photostudio (Instagram: @dmuslimphotostudio)

Jika di dalam teater Takhta 3 Ratu arahan sutradara Erma Fatima itu, Erra yang membawakan menjadi 'rebutan' antara Remy dan Awie. Tetapi Tasbih Cinta bakal menyaksikan cinta antara Erra dan Remy bersatu. Erra membawakan watak Aisyah dan Remy sebagai lelaki buta bernama Ahmad. Menurut Erra, penggambaran telefilem berkenaan bermula hari ini.

"Dia (Remy) seorang pelakon yang baik. Tapi secara keseluruhannya, saya teruja nak berlakon telefilem ini kerana dapat bergandingan dengan pengarah yang saya minat. Kali terakhir saya bekerja dengan pengarah (Azma) sejak dua tahun lalu. Sepanjang bekerjasama dan mengenali profil lakonan Remy, dia seorang pelakon yang serius serta berusaha kuat menjiwai serta mencantikkan karakter.

"Cabaran dalam telefilem ini ialah dia menjadi buta. Ahmad digambarkan sebagai seorang lelaki muda tetapi budiman dan tinggi selok-belok agamanya. Aisyah pula sebagai wanita berusia yang memiliki kerjaya stabil tetapi kehidupannya masih kosong dan dia berusaha mencari kekosongan yang ada itu.

"Perbezaan usia Aisyah dan Ahmad tidak menghalang mereka menjalinkan cinta. Jodoh mereka kuat hingga berkahwin. Nak tahu bagaimana jalan cerita dan kesudahannya kenalah tunggu bila ia akan disiarkan kelak," kata Erra.


ERRA bergambar bersama pelajar tahfiz Rumah Al Bayan, Sungai Buloh. - Foto Ihsan Dmuslim Photostudio (Instagram: @dmuslimphotostudio)

Mengenai majlis sambutan raya bersama kelab peminatnya itu, Erra terharu dengan usaha Bersama Erra untuk menganjurkannya. Kali terakhir Erra Fazira diraikan dalam satu majlis bersama peminatnya sekitar dua tahun lalu di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail.

Bagaimanapun selepas sekian lama merancang, inisiatif kelab peminatnya dipanggil Bersama Erra itu berjaya direalisasikan. Majlis bertemakan beraya di desa itu dihadiri lebih 150 peminat Erra selain pelajar tahfiz Rumah Al Bayan, Sungai Buloh.

"Dua tahun kita tak berkumpul bersama seperti hari ini. Alhamdulillah, ia akhirnya dapat dilangsungkan dengan usaha ahli jawatankuasa kelab peminat saya.

"Saya amat terharu dengan usaha peminat yang sanggup datang dari jauh untuk sama sama dalam majlis ini. "Biar beberapa kali tertunda atas sebab yang tak terduga, kita masih dapat beraya bersama," katanya.

Bagi Erra, peminat terus menjadi nadi kelangsungan kepada kerjaya seninya hingga saat ini.

"Di saat saya lelah dan sesekali hampir rebah dengan asakan serta permainan dunia hiburan, saya masih bertuah kerana ada peminat yang terus menyokong dari belakang.

"Saya mengambil kesempatan ini juga untuk memohon maaf kepada peminat jika ada khilaf tingkah dan kata. Sama sama kita buka lembaran baharu," kata hos program Primadona di Astro Prima itu. BH Online turut dimaklumkan, Erra menempah jubah berwarna kuning untuk pelajar tahfiz Rumah Al Bayan berkenaan.


ERRA di majlis sambutan raya kelab peminat, Bersama Erra (BE), di Rumah Tamu Datin Halijah, Taman Datuk Senu, Sentul. - Foto Ihsan Dmuslim Photostudio (Instagram: @dmuslimphotostudio)

Info Erra Fazira

  • Erra mula bertudung penuh sejak awal Jun lalu mengambil keberkatan malam nisfu Syaaban.
  • Anaknya Engku Aleesya kini berusia enam tahun.
  • Tahun ini selain beraya di ibu kota, Erra turut beraya di Pulau Pinang.
  • Turut mengusahakan perniagaan menjual biskut, Rara Cookies dan tudung.

25 dibaca
Berita Harian X