Isnin, 27 Julai 2015 | 2:12pm

Arwah Kak Pah nak saya jadi kuat - Shiha Zikir

KUALA LUMPUR: Lebih 10 bulan, biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar meninggalkan kita.

Allahyarhamah meninggal dunia pada pagi Sabtu, 5 Julai tahun lalu di Pusat Perubatan Pakar Damansara kerana fibrosis paru-paru atau 'paru-paru berparut. Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Tapi bagi Shiha Zikir yang pernah berkongsi pentas dan pengalaman dengan penyanyi bersuara lemak merdu itu ketika menjayakan Mentor musim kelima di TV3 sekitar 2011 itu, kenangan dan memori bersama Allahyarhamah yang mesra disapa dengan nama Kak Pah itu masih berbekas dan terpahat di dalam hati. Menerusi pertandingan itu, Shiha memenangi tempat kedua.

Selesa memanggil penyanyi lagu Seribu Mawar itu dengan panggilan Umi, Shiha mengimbau kenangan bahawa dia menyertai pertandingan Mentor itu kerana minatnya terhadap Allahyarhamah.

"Sejujurnya saya sudah mengalah dan berputus asa untuk menyertai mana-mana pertandingan nyanyian lagi. Saya pernah masuk Akademi Fantasia musim ketiga tetapi hanya mara di peringkat prelud sahaja. Seterusnya saya cuba nasib lagi untuk pertandingan yang sama bagi musim berikutnya. Namun ketika itu saya hanya di bawah status simpanan.

"Jadi memang saya sudah tak bersemangat lagi nak masuk pertandingan menyanyi. Hinggalah program Mentor kelima menamakan Umi sebagai salah seorang Mentor dan dalam hati teringin sangat nak jadi protegenya. Kebetulan uji bakat menjadi protege Umi pada hari terakhir. Jadi nak tak nak, kalau saya tak dapat jadi protegenya memang peluang saya nak jadi protege kepada artis lain takkan ada.

"Alhamdulillah rezeki saya bersama Umi. Ironinya saya masuk Mentor itu sebab Umi. Saya dibesarkan dengan lagu Umi," katanya

Bagi Shiha yang pernah menjadi pengacara Jalan Jalan Cari Makan di TV3, Allahyarhamah menjadi individu paling penting dalam hidupnya. Kata Shiha, Allahyarhamah umpama sumber rujukan dan tempat dia mengadu nasib setiap kali timbul perkara berbangkit. Hubungan Shiha dan Uminya itu bagai anak dan ibu.

"Kalau saya ada masalah sahaja contohnya seperti perihal berkaitan urusan kontrak dalam dunia nyanyian atau lakonan, Umilah yang selalu akan jadi tempat saya rujuk dan tanya. Maklumlah saya ketika itu masih baharu, jadi memang perlu orang yang berpengalaman. Saya pernah satu tahap ke rumahnya di Petaling Jaya untuk menunjukkan butiran kontrak yang bakal ditangani.

"Lucu dan menariknya, kalau Umi sendiri tak puas hati dengan terma yang termaktub dalam kontrak itu, beliau sendiri yang akan menghubungi pihak berkaitan. Pendek kata, Umi yang akan ambil alih seolah-olah dialah pengurus kerjaya saya. Selain tempat rujuk dan tanya, Umi jugalah tempat saya mengadu nasib dan bercerita kalau kecewa dalam hidup mahupun di arena seni.

"Tapi kalau saya menangis, Umi akan marah. Pernah satu tahap, Umi cakap kalau nak menangis... jangan hubungi atau bertemunya lagi. Umi cakap, saya kena kuat. Umi cakap baharu kena macam itu ini sudah mengalah sedangkan Umi lagi kena lebih teruk berbanding saya. Umpamanya kini saya sudah hilang tempat meluah rasa yang terbuku," kata Shiha.

Tambah Shiha lagi, Allahyarhamah sebenarnya cukup tegas dengan pendirian diri.

"Dia memang tegas. Pendek kata sangat garang. Marah dan garangnya itu bersebab. Umi kalau boleh nak saya jadi kuat sepertinya. Jangan tunjuk diri ini cepat mengalah," katanya.

Mengintai sisi kerjaya seninya, Shiha sebenarnya sudah empat tahun menceburi pentas seni. Shiha kini meneruskan survivalnya dengan apa sahaja untuk memastikan kelangsungan hidup.

"Alhamdulillah undangan membuat persembahan makan malam atau majlis tertutup itu masih ada. Klien saya yang pernah melihat saya menyanyi di hotel dahulu masih menawarkan saya peluang membuat persembahan. Permintaan itu sentiasa ada kerana saya ada portfolio dan pengalaman menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa.

"Sekarang juga saya sudah bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Terbaharu saya tandatangani kontrak bersama komposer Ajai. Kontrak saya untuk beberapa buah single dengannya. Memang sudah lama saya idam peluang rakamkan lagu di bawahnya tapi baharu sekarang ada kesempatan.

"Sebenarnya Ajai sudah tertarik dengan suara saya sejak saya menyanyikan lagu tema pertandingan Mentor Legend di TV3 lagi. Saya berseloroh kepadanya yang diri ini sudah lama berkecimpung kenapa baharu sekarang beliau tertarik. Tak kisahlah, janji saya dapat juga guna khidmatnya sekarang. Tapi kerana Ramadan bakal tiba, single sulung saya bersamanya hanya akan dipromosikan selepas raya," katanya sambil memberitahu single ciptaan Ajai berentak balada dengan judul Seperti Novel Cinta.

Berita Harian X