Sabtu, 25 Julai 2015 | 12:03am

Asam pedas ekor, hidangan popular di selatan tanah air

ASAM pedas yang kebiasaannya menggunakan ikan sebagai bahan utama adalah hidangan popular di selatan tanah air terutama di Melaka dan Johor.

Malah, bagi masyarakat Johor asam pedas juga dipanggil gulai dan ikan kadang kala diganti dengan ayam sebagai bahan utama untuk memasak hidangan gulai ayam asam pedas.

Bagaimanapun jika anda pernah mengunjungi Hotel Eastin Petaling Jaya, asam pedas ekor lembu menjadi hidangan istimewa untuk memberikan kelainan dalam selera masakan asam pedas.


PEMBANTU Cef Masakan Melayu Hotel Eastin Petaling Jaya, Usri Kamaruddin mempamerkan menu asam pedas ekor lembu.

Pembantu Cef Masakan Melayu Hotel Eastin Petaling Jaya, Usri Kamaruddin, berkata berbeza dengan asam pedas ikan dan ayam yang menggunakan asam jawa, asam pedas ekor menggunakan pes tomato atau puri tomato sebagai penambah rasa masam kepada hidangan berkenaan.

"Selain itu, pes tomato juga memberikan warna yang lebih menarik kepada masakan ini dan juga mampu memotong lemak pada ekor lembu terbabit," katanya.

Sama seperti asam pedas ikan dan ayam, daun kesum dan bunga kantan adalah bahan penting sebagai menambah aroma kepada masakan berkenaan.

Di bawah adalah cara penyediaan asam pedas ekor.

Bahannya:


BAHAN-bahan untuk membuat Mi Rebus Killiney. - Foto Adi Safri

1 kg ekor lembu (direbus hingga lembut untuk sekurang-kurangnya 1 jam)

sedikit jintan manis, jintan putih dan halba (tiga beradik)

200 gram (gm) cili kering (dikisar)

30gm puri tomato

50gm bawang putih (dikisar)

100gm bawang besar (dikisar)

100gm bawang merah (dikisar)

50gm halia (dikisar)

20gm belacan bakar

4 batang serai diketuk

2 batang bunga kantan (dibelah empat)

daun kesum

daun limau purut

2 biji tomato (dibelah empat)

2 biji cili merah (dibelah dua)

2 biji cili hijau (dibelah dua)

garam, lada sulah sebagai penambah rasa

sedikit minyak untuk menumis

Cara memasak:

1. Tumiskan cili kering, tiga beradik, bawang putih, bawang merah, bawang besar, halia, serai, belacan sehingga naik bau.

2. Masukkan air rebusan ekor bersama bunga kantan.

3. Masukkan puri tomato.


PETALING JAYA 21 May 2015. Langkah 5 untuk membuat Asam Pedas Ekor di Eastin Hotel. NSTP/Adi Safri

4. Masukkan daun kesum, daun limau dan ekor.

5. Bila mendidih masukkan cili merah, cili hijau, garam dan lada sulah secukup rasa.

6. Sedia untuk dihidang.

TIPS:

Petua untuk melembutkan ekor atau daging;

1. Taburkan sedikit baking powder semasa merebus atau memasak daging atau ekor. Jangan terlalu banyak kerana jika tidak ia boleh menghancurkan daging. Cukup sekadar memercikkan serbuk berkenaan dalam masakan.

2. Gunakan tiga atau empat helai daun nangka muda semasa merebus atau memasak daging atau ekor.

3. Juga boleh gunakan kulit nanas dengan anggaran kulit dari setengah biji nanas untuk setengah kilogram daging atau ekor.

Berita Harian X