Jumaat, 24 Julai 2015 | 12:06am
PENYAKIT mental terbahagi kepada tiga jenis. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Penyakit mental tidak mengenal usia


DANIEL dilahirkan sempurna seperti bayi yang lain. Namun, pada usia tiga tahun, dia masih belum boleh bertutur, tidak seperti kanak-kanak seusianya.

Dia juga sering menyendiri dan tidak suka bermain dengan kanak-kanak lain. Daniel hanya mahu ditemani patung beruang yang diusung ke mana saja dia pergi. 

Ibu bapa Daniel beranggapan perlakuan dan tingkah laku anaknya itu adalah perkara biasa. Bagi mereka Daniel masih kecil dan akan beransur-ansur berubah apabila sudah mencapai usia empat atau lima tahun.

Apa yang mereka tidak ketahui, ciri yang dipamerkan Daniel itu adalah petanda awal yang dia mengalami penyakit mental.

Ramai tidak menyedari hakikat bahawa masalah kesihatan mental membabitkan setiap peringkat umur, bukan hanya membabitkan golongan dewasa. Bayi yang baru dilahirkan juga tidak terkecuali. Bagaimana mungkin perkara ini berlaku, mungkin persoalan yang terdetik dalam pemikiran kebanyakan kita.

Berdasarkan dunia perubatan, bayi yang baru dilahirkan berisiko menghidapi penyakit mental didorong oleh faktor dia dilahirkan dalam keluarga yang bermasalah, ibu bapa yang tidak bersedia atau terlalu muda dan ibu yang mempunyai masalah kemurungan.

Masalah ini patut diberi perhatian khusus oleh semua pihak, lebih-lebih lagi Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) yang keempat (bagi tempoh 2011 dan 2014) menunjukkan seramai sejuta atau 20 peratus kanak-kanak berusia antara lima tahun dan 16 tahun mengalami masalah mental membabitkan masalah perkembangan, tingkah laku serta emosi.

Kaji selidik itu mendapati lima peratus atau 50,000 kanak-kanak perlu berjumpa dengan profesional kesihatan mental seperti kaunselor, pakar psikologi dan pakar psikiatri.

Persoalannya adakah kesedaran ibu bapa mengenai penyakit mental di negara ini sudah mencapai tahap yang memuaskan?


PERUNDING Psikiatri Am/Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Jabatan Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCT PPUKM) dan Pusat Pakar UKM (UKMSC), Profesor Madya Dr Fairuz Nazri Abd Rahman Foto Aizuddin Saad

Perunding Psikiatri Am/Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Jabatan Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCT PPUKM) dan Pusat Pakar UKM (UKMSC), Profesor Madya Dr Fairuz Nazri Abd Rahman, berkata bayi yang berkemungkinan menghidapi penyakit mental juga cenderung menunjukkan tanda seperti lebih kerap menangis.

Bayi menangis mungkin satu keadaan biasa, malah ramai yang beranggapan ia satu proses perkembangan atau tumbesaran kanak-kanak. Namun, jangan ambil mudah jika tangisannya berlebihan dan terlalu kerap. kanak-kanak ini mungkin berhadapan penyakit mental dan berpotensi menjadi masalah yang serius jika dibiarkan tanpa rawatan.

Kebanyakan kes dirujuk ke HCT PPUKM setelah kanak-kanak berusia beberapa tahun iaitu antara dua tahun dan enam tahun berikutan masalah perkembangan, autisme (kecacatan perkembangan tegal yang membabitkan fungsi otak), kurang penumpuan, masalah belajar, disleksia (masalah pembelajaran khusus) dan Attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) seperti kesukaran mengawal perilaku dan hiperaktif.

Kata Dr Fairuz Nazri, ibu bapa perlu `bimbang' dan membawa anak mereka mendapatkan pemeriksaan teliti jika lambat bercakap, lambat bertindak balas terhadap apa yang berlaku di sekeliling, prestasi rendah di peringkat tadika, kelakuan berbeza daripada kanak-kanak lain, suka menyendiri, bermain permainan yang tidak dimainkan kanak-kanak lain dan suka bersendiri bersama objek kesukaan mereka.

"Masalah mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja lelaki yang ketara biasanya membabitkan masalah luaran seperti hiperaktif, melawan cakap ibu bapa, masalah disiplin di sekolah dan masalah dadah.


AKTIVITI untuk pesakit mental di Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Petaling Jaya. -Foto Zulfadhli Zulkifli.

"Kanak-kanak dan remaja perempuan pula membabitkan masalah dalaman seperti kurang tumpuan, murung dan mencederakan diri sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Fairuz Nazri berkata, tidak ada sebarang perbezaan iaitu sama ada kanak-kanak lelaki atau kanak-kanak perempuan yang lebih berisiko untuk mendapat penyakit mental, semuanya bergantung kepada jenis masalah mental itu sendiri dan faktor sosio ekonomi, yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Semua peringkat masyarakat boleh mengalami masalah mental, jelasnya, namun masyarakat yang berada pada tahap sosio ekonomi rendah adalah lebih berisiko, disumbangkan oleh masalah kewangan, terlalu ramai ahli keluarga dalam satu rumah dan kekurangan pendidikan. 

"Faktor seperti ini boleh menyebabkan masalah mental menjadi lebih kronik. Apabila kanak-kanak itu meningkat usia ke tahap remaja, mereka akan mula mengalami masalah mental yang antaranya turut dialami orang dewasa, antaranya skizofrenia (gangguan mental serius) dan bipolar (penyakit mental yang membabitkan perubahan emosi melampau)," katanya.

 

Dr Fairuz Nazri turut berkongsi pengalamannya merawat remaja perempuan berusia 12 tahun, yang mengalami masalah aneroksia, iaitu penyakit berasa diri gemuk dan tidak mahu makan untuk kekal kurus.


PESAKIT mental menyertai aktiviti yang disediakan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Petaling Jaya. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Jelasnya, aneroksia adalah satu bentuk penyakit mental, yang mana ia akan menyebabkan kecederaan saraf dan kecacatan kepada penghidapnya akibat kekurangan zat.

Orang ramai juga sering menganggap penyakit mental disebabkan semata-mata oleh faktor keturunan.

Timbalan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, yang juga Pakar Perunding Psikiatri, Dr Andrew Mohanraj, faktor keturunan boleh menyebabkan seseorang itu lebih berisiko untuk mendapat penyakit mental, namun adalah salah untuk beranggapan semua ahli dalam keluarga itu boleh mendapat penyakit mental.

Membicarakan hal itu dengan lebih lanjut, Dr Andrew berkata, penyakit mental berlaku disebabkan gangguan bahan kimia dalam otak (neurotransmitter) yang membawa maklumat kepada otak dan badan. Jika kandungan neurotransmitter terlalu tinggi atau rendah, ia boleh menyebabkan perkara luar biasa dengan menjejaskan fikiran dan perasaan.


PAKAR perunding psikiatri, Dr Andrew Mohanraj. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Dr Andrew berkata, penyakit mental terbahagi kepada tiga jenis iaitu psikosis iaitu yang paling ketara dan agak berat serta orang ramai menganggap pesakit ini sebagai gila. Contohnya, skizofrenia, kemurungan dan bipolar.

Jenis kedua, neurosis. Pesakit mempunyai ciri kegelisahan dan kerisauan atau cemas. Kadang kala pesakit mental ringan ini tidak boleh diterima orang lain kerana beranggapan pesakit berpura-pura dan cuba menarik perhatian.

Jenis ketiga dikenali sebagai penyakit mental organik yang berkaitan dengan masalah fizikal dan kecederaan otak, contohnya selepas berlaku kemalangan.

Ditanya mengenai jenis penyakit mental yang paling banyak dihidapi penduduk negara ini, Dr Andrew berkata, kaji selidik NHMS mendapati sebanyak 20 peratus penduduk di negara ini yang berusia antara 18 tahun dan 80 tahun menghidapi masalah mental, namun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana mungkin ada kes yang tidak dilaporkan. Daripada peratusan itu, katanya, lima peratus membabitkan masalah kemurungan.

Dr Andrew berkata, masalah kemurungan menjadi masalah besar di seluruh dunia yang menjejaskan tahap keupayaan bekerja. Ia lebih kerap dialami wanita, namun kecenderungan untuk membunuh diri disebabkan kemurungan lebih banyak terjadi dalam kalangan lelaki. Namun, katanya, tiada kajian lanjut dijalankan mengapa perkara itu berlaku.


PESAKIT mental memerlukan lebih pengawasan. -Foto Zulfadhli Zulkifli.

"Kita selalu fikir kebanyakan orang ramai yang tidak berupaya bekerja ini disebabkan mereka mengalami masalah dari segi fizikal. Bila mereka pergi berjumpa doktor, didapati tiada penyakit dan doktor hanya memberikan ubat biasa seperti paracetamol dan sebagainya. Kita tidak sedar sebenarnya dia mungkin mengalami masalah mental sehingga tiada keupayaan untuk bekerja," katanya.

Masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan profesional yang semakin menjadi-jadi juga dikenal pasti sebagai punca meningkatnya penyakit mental dalam kalangan penduduk Malaysia. Pengambilan dadah seperti syabu boleh menyebabkan kelakuan seseorang itu sama seperti simptom dialami bagi penyakit mental psikotik. Jika pengambilan dadah itu berterusan, simptom penyakit mental juga akan bertambah.

 

Faktor sosio ekonomi juga, jelas Dr Andrew, boleh menyebabkan masalah penyakit mental lebih-lebih lagi di zaman urbanisasi yang penuh dengan persaingan, yang mana sesetengah individu tidak mampu untuk menerima tekanan.

 

"Contohnya dalam budaya Asia setiap rumah biasanya akan didiami oleh sebuah keluarga yang besar. Jika seorang dalam keluarga mengalami masalah atau kesulitan, contohnya dibuang kerja, dia boleh meminta bantuan daripada ahli keluarganya yang lain.

"Keadaan berbeza ketika ini. Kebanyakan institusi keluarga membabitkan keluarga yang kecil, hanya ada ibu bapa dan anak-anak. Jika bapa mengalami masalah, dia terpaksa menanggungnya seorang dan jika ia tidak dapat membendung tekanan itu, berlakulah penyakit mental.

"Kita harus melihat permasalahan ini melalui perspektif yang lebih besar. Kita tidak boleh lari daripada proses urbanisasi, apa yang penting kekalkan sikap positif dan jalin hubungan yang lebih baik dengan ahli keluarga sekali pun tidak tinggal bersama," katanya.

INFO

Pemulihan untuk pesakit mental kanak-kanak

* Kanak-kanak memiliki tanda penyakit mental terlebih dahulu dinilai secara klinikal oleh pakar psikiatri. 

* Sesi penilaian turut dihadiri ibu bapa dan keluarga. Ia memfokuskan sejarah pesakit dan keadaan serta tingkah laku mereka di rumah serta di sekolah.

* Selepas maklumat dikumpulkan, masalah sebenar pesakit akan dikenal pasti.

* Pesakit kemudian diberikan rawatan sama ada dari segi pengambilan ubat-ubatan atau terapi psikologi.

* Terapi psikologi membabitkan perbincangan dengan pesakit dan ibu bapa mereka iaitu bagaimana cara untuk mengubah tingkah laku mereka, selain berunding dengan pihak sekolah mengenai cara untuk membantu mengubah persekitaran yang lebih sesuai.

* Rawatan ubat psikoterapi pula sama seperti yang digunakan kepada pesakit dewasa tetapi pada dos yang lebih rendah dan untuk yang berusia 12 tahun ke atas.

* Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran, rundingan dengan pihak sekolah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibuat selepas melakukan penilaian bagi menentukan status orang kelainan upaya (OKU) pesakit untuk menempatkan mereka dalam pendidikan khas.

* Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah kelakuan, analisis akan dijalankan untuk mengenal pasti mengapa mereka berbuat demikian.

Berita Harian X