Sabtu, 20 September 2014 | 3:29pm

Segera selesaikan masalah dalaman parti - Ketua Pemuda PAS


KETUA Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat berucap pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS kali ke-60 Batu Pahat 1435/2014 di Parit Raja, Batu Pahat di sini hari ini. - Foto BERNAMA

BATU PAHAT: Dewan Pemuda PAS meminta kepimpinan parti menyelesaikan masalah dalamannya dengan segera kerana ia akan memberi kesan mendalam kepada sayap Pemuda parti.

Ketuanya, Suhaizan Kayat, berkata jika krisis dalaman PAS berterusan dan berpanjangan, ia akan meninggalkan kesan terhadap anggota Pemuda PAS yang disifatkan belum matang dalam menangani permasalahan.

"Kita perlu dengan sedaya upaya selesaikan masalah dalaman parti dengan segera kerana jika tidak, yang akan terima akibatnya adalah Pemuda. Mereka (pemuda) belum lagi matang, berbanding abang-abang kita," katanya pada sesi penggulungan Muktamar PAS ke-60 di Parit Raja di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menafikan ahli pemuda PAS ada terbabit dalam krisis dalaman parti seperti 'Kajang Move', perbezaan pendapat antara Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu serta tindakan label-melabel antara satu sama lain.

"Mungkin yang buat tu abang-abang kita," kata Suhaizan sambil menambah, Pemuda PAS juga tidak terbabit dengan insiden segelintir perwakilan Pemuda yang keluar dewan ketika Mohamad Sabu berucap pada majlis perasmian Muktamar Pemuda di Kota Tinggi, baru-baru ini.

Beliau turut mendakwa kumpulan Pemuda yang sengaja keluar dewan ketika Mohamad Sabu mula berucap itu "didatangkan" khas oleh pihak tertentu.

Suhaizan berkata, PAS memiliki Abdul Hadi, Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din sebagai simbol penyatuan di dalam parti.

"Inilah simbol yang boleh menjadi kunci kepada penyatuan kepada semua di dalam PAS," katanya menambah untuk ke depan, PAS perlu kurang dibebani dengan masalah dalaman.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff pula berkata, pihaknya akan memperkasakan agenda membantu rakyat dalam menghadapi isu kenaikan kos hidup dan pelbagai cabaran ekonomi lain. - BERNAMA

Berita Harian X