Rabu, 22 Julai 2015 | 10:27am
SEBAHAGIAN peserta himpunan '722 Sarawak Freedom and Independence Day Walk' di Kuching, pagi ini. - Foto NSTP

Hanya 1,000 sertai himpunan di Sarawak setakat 9 pagi

KUCHING: Hanya kira-kira 1,000 orang saja menghadiri perhimpunan '722 Sarawak Freedom and Independence Day Walk' di Padang Jubilee di sini setakat 9 pagi ini.

Mereka berkumpul di situ sejak 7.30 pagi meskipun dinasihatkan polis supaya tidak berbuat demikian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, memberi nasihat itu semalam susulan polis menerima maklumat terdapat pihak merancang untuk menggunakan perhimpunan berkenaan sebagai platform untuk menghasut dan membangkitkan sentimen rakyat Sarawak agar keluar daripada Malaysia.

Perhimpunan anjuran Sarawak Dayak Iban Association (Sadia) dan Sarawak for Sarawak (S4S) Team itu dilapor diadakan bagi meraikan tarikh kemerdekaan Sarawak daripada British pada 22 Julai 1963.

Para peserta yang berpakaian t-shirt hitam bertulis 'Sarawak for Sarawakians' kemudiannya berarak sejauh 1.5 kilometer ke Padang Rekreasi Song Kheng Khai dengan berjalan kaki dan menunggang basikal.

Tinjauan Bernama mendapati para peserta turut membawa bendera negeri Sarawak dan pelbagai sepanduk bertulis 'peace', 'harmony', 'education autonomy' dan 'health care autonomy'.

Polis memantau perhimpunan itu. - BERNAMA

Berita Harian X