Selasa, 21 Julai 2015 | 2:27pm

Bukan putus cinta Syatilla Melvin berambut pendek

SYATILLA berambut pendek bukan kerana putus cinta, tapi pernyataan terlalu bahagia dengan kehidupan. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Bagi pelakon jelita, Syatilla Melvin, perubahan imej dengan kini tampil berambut pendek bukan kerana putus cinta, tapi pernyataan terlalu bahagia dengan kehidupan.

Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 24, berkata dia sudah lama menyimpan impian untuk memotong pendek rambutnya, tetapi tidak mempunyai keberanian dan kekuatan berbuat demikian.

"Sebenarnya saya sejak kecil lagi tidak pernah berambut pendek. Sudah lama saya menyimpan niat untuk memotong pendek rambut ini tetapi pelbagai perkara bermain di benak fikiran ini. Risau tidak kena dengan bentuk muka dan sebagainya.

SYATILLA sudah lama menyimpan impian untuk memotong pendek rambutnya, tetapi tidak mempunyai keberanian dan kekuatan berbuat demikian. - Foto Instagram

"Ada juga yang turut menanyakan kepada saya sama ada saya putus cinta atau kecewa kerana memotong rambut pendek sebegini namun bagi saya kenapa tunggu sehingga putus cinta untuk potong rambut kan?

"Saya memotong rambut kerana begitu gembira dengan kehidupan. Sekali gus membuang dan enggan menoleh lagi kisah lampau. Ini satu kepuasan buat diri saya," ujar Syatilla kepada BH Online.

Sebelum ini, Syatilla dikatakan menjalin hubungan cinta dengan aktor popular, Shaheizy Sam. Meskipun belum ada sebarang kenyataan rasmi, kedua-duanya dilihat selesa bersama.

Pelakon kelahiran Parit Buntar, Perak itu turut meluahkan rasa terujanya kerana mengambil masa yang sedikit saja untuk bersiap jika dibandingkan masa yang diambil ketika berambut panjang sebelum ini.

SYATILLA memotong rambut kerana begitu gembira dengan kehidupan. - Foto Instagram

"Saya mempunyai rambut yang panjang dan tebal, ia membuatkan saya mengambil lebih kurang 30 minit untuk bersiap jika hendak keluar. Namun kini saya hanya memerlukan 10 minit saja.

"Lagipun saya sudah bosan dengan rambut sebelum ini, kalau tidak kerinting mesti diluruskan. Kiranya balik-balik gaya yang sama saja," jelas Syatill sambil tertawa.

Dalam perkembangan terkini, Syatilla kini sedang sibuk menjalani penggambaran bagi sebuah telemovie sempena Hari Merdeka yang berjudul Lumpur Di Kerikir bersama pelakon, Nubhan.

Berita Harian X