Selasa, 21 Julai 2015 | 9:13am

Tipulah kalau saya tak suka Ezzaty - Azwan Kombos


AZWAN Kombos dan Ezzaty pernah melalui episod gagal dalam percintaan.

KUALA LUMPUR: Keterbukaan Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah berkongsi gambar di laman Instagram termasuk dilihat seperti belangkas di acara hiburan pastinya mengundang pelbagai andaian serta kesimpulan.

Sekalipun mereka menjalin hubungan istimewa, ia tidak jadi masalah kerana kedua-duanya tidak terikat dengan sesiapa. Bahkan mereka juga pernah melalui episod gagal dalam percintaan.

BH Online mendapatkan penjelasan daripada Azwan yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan Nad Zainal.

"Macam apa yang saya pernah cakap sebelum ini, saya memang berkawan rapat dengan Ezzaty. Saya kenal dia sudah lebih daripada lima bulan. Dan saya rasa kalau untuk jatuh cinta dengannya suatu hari pun boleh.

"Tapi saya tak mahu rosakkan persahabatan kami disebabkan cinta. Sebab apabila sudah bercinta dan jika bukan jodoh bersama, mungkin sukar untuk kami berkawan rapat semula seperti sekarang.


AZWAN tak mahu rosakkan persahabatan kami disebabkan cinta.

"Saya selesa dengan keadaan sekarang. Sebab saya bukannya kali pertama bercinta. Banyak belajar daripada pengalaman lepas," katanya.

Azwan turut menjelaskan, kalau ada sesuatu yang menarik untuk dikongsikan bersama mengenai persahabatannya dengan Ezzaty, nescaya dia sendiri berbesar hati untuk berkongsi bersama.

"Tipu kalau saya cakap saya tidak punya perasaan suka terhadap dia. Kalau saya tak suka, takkanlah saya sanggup menghabiskan masa saya bersama dia. Tapi, apa-apa pun nak buat sesuatu tak boleh terburu-buru.

"Buat masa sekarang, saya lebih selesa untuk tidak berkongsi banyak kisah peribadi kepada tatapan umum. Tapi benda yang baik saya mesti akan kongsi. Sekarang pun lebih kepada memperbaiki diri daripada aspek kewangan, kehidupan dan agama.

"Soal cinta bukan satu keutamaan tapi lebih kepada melengkapi. Cinta tetap akan datang. Kuncinya sabar," katanya.

Azwan sedang menunggu tayangan dua filem lakonannya, Jangan Ambil Rumah Kami bermula 20 Ogos depan dan diikuti dengan Badi pada 15 Oktober.

311 dibaca
Berita Harian X