Isnin, 20 Julai 2015 | 11:39am

Syor langkah drastik tangani nahas


SEORANG maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan sebuah lori di Kilometer 64 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, Bidor, semalam.

KUALA LUMPUR: Kemalangan jalan raya yang meningkat saban tahun khususnya musim perayaan, menimbulkan pelbagai persoalan mengenai isu keselamatan lalu lintas dan ketegasan penguatkuasaan.

Semalam sahaja berpuluh lagi terkorban, antaranya bayi 5 bulan di Besut, doktor di Ipoh, jurujual di Alor Setar, selain kemalangan membabitkan bas ekspres yang terhumban di lereng bukit di Rawang.

Pada hari raya pertama, enam orang, termasuk empat sekeluarga terbunuh dalam kemalangan di Machang, Kelantan.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri turut menyuarakan kesedihan dan kebimbangan beliau terhadap bilangan kemalangan direkodkan sepanjang Ops Selamat yang dilancarkan sejak 10 Julai lalu.

Rekod polis menunjukkan jumlah kemalangan sembilan hari pertama Ops Selamat tahun ini meningkat lebih 2,000 kes berbanding tempoh sama tahun lalu. Sebanyak 12,383 kemalangan dengan 203 kematian dicatatkan tahun ini, berbanding 10,349 kemalangan dengan 139 kematian dalam tempoh sama Aidilfitri tahun lalu.

Langkah drastik

Susulan senario sama setiap tahun, pakar keselamatan jalan raya mencadangkan beberapa langkah drastik sebagai penyelesaian.

Antaranya:

  • Batalkan serta-merta lesen memandu pemandu yang melakukan kesalahan berulang,
  • Batalkan permit syarikat bas ekspres atau bas henti-henti yang terbabit kemalangan.
  • Sistem Merit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) dimansuh dan diganti sistem baharu.
  • Menghantar pemandu bermasalah (berulang) untuk ujian psikologi.
  • Pemandu bas dan bas ekspres dihantar menjalani ujian dadah setiap bulan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, berkata pemandu, termasuk pemandu bas yang meragut nyawa perlu dibatalkan lesen memandu mereka.

"Bukan sahaja pemandu bas, malah permit syarikat bas terbabit juga perlu dibatalkan. Ini sebagai pengajaran dan pada masa sama memastikan nyawa penumpang bas ekspres selamat," katanya.

Shaw Voon turut mahu pengusaha syarikat bas menghadkan kerja lebih masa (OT) pemandu mereka bagi mengelak mereka merasa letih ketika memandu.

"OT perlu dihadkan kerana sebelum ini ada pemandu yang bekerja lebih masa sehingga 12 jam mengakibatkan mereka letih.

"Setiap pemandu juga perlu kerap dihantar untuk menjalani ujian kesihatan dan psikologi supaya mereka sentiasa berada dalam keadaan stabil serta selamat untuk membawa penumpang," katanya.

Syor mansuhkan KEJARA

Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar pula meminta kerajaan memansuhkan Sistem Merit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) yang diperkenalkan untuk menggantung dan membatalkan lesen mengikut sistem demerit.

"Apa sudah jadi dengan KEJARA sehingga kini seolah-olah gagal mendidik pemandu. Sistem itu perlu diganti dengan sistem perundangan baharu yang lebih tegas.

"Setiap pemandu bas perlu diwajibkan menjalani ujian saringan air kencing setiap bulan bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah," katanya.  

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Malaysia (PMBOA),  Datuk Mohamad Asfar Ali, menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) mempercepatkan penguatkuasaan kad pemandu untuk semua pemandu bas di negara ini bagi meningkatkan disiplin dan mengurangkan kemalangan.

"Pada masa ini, pemilihan pemandu ditentukan oleh penguasaha bas sendiri dan kita sebagai persatuan hanya mampu memberi nasihat. 

"Dengan adanya kad ini, mereka yang bermasalah dan mempunyai rekod buruk pasti tidak dibenarkan memandu dan mereka yang mempunyai kad sudah tentu akan lebih berhati-hati untuk mengelak melakukan kesilapan," katanya.

Berita Harian X