Ahad, 19 Julai 2015 | 1:03pm

Bas berpusing sebelum terbabas

SAQIB adalah antara mangsa dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres di Kilometer 436 berhampiran Hentian Sebelah di Rawang. - Foto Yazit Razali

SUNGAI BULOH: "Saya terdengar jeritan daripada seorang wanita sebelum menyedari leher dan badan saya berlumuran darah," kata Muhammad Saqib Shafiullah, 20.

Saqib, seorang warga Pakistan adalah antara mangsa dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres di Kilometer 436 berhampiran Hentian Sebelah Rawang.

Katanya, ketika kejadian pada jam 6.30 pagi itu, dia sedang tidur sebelum terjaga apabila menyedari bas dinaikinya berpusing dan terbabas.

Dia menaiki bas berkenaan untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas pergi berjumpa kawannya yang berada di Pulau Pinang.

"Saya mendengar seorang wanita menangis kerana ibunya juga berada dalam bas itu, sebelum ternampak seorang lelaki muda sedang menangis.

"Ketika itu, baru saya tersedar bas dinaiki terbabas dan berasa sakit di bahagian kepala serta terlihat banyak darah di bahagian leher dan badan.

"Sebaik keluar daripada bas itu melalui tingkap, saya hulurkan telefon bimbit saya kepada wanita dan lelaki itu supaya mereka dapat hubungi ahli keluarga masing-masing.

"Saya juga menghubungi saudara saya di Pakistan memaklumkan keadaan saya supaya mereka tidak bimbang," katanya.

Saqib yang cedera di bahagian kepala dan pipi, berkata dia kemudian menaiki ambulans ke Hospital Sungai Buloh dan dibenarkan keluar selepas menerima rawatan.

Berita Harian X