Ahad, 19 Julai 2015 | 11:42am

Penumpang dakwa pemandu bas tertidur sebelum terbabas

SEBUAH bas ekspres terhumban ke lereng bukit di Kilometer 436 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Hentian Sebelah Rawang, jam 6.30 pagi tadi. - Foto NSTP

SUNGAI BULOH: "Saya cuba kejutkan mak kerana mulut dia berbuih tetapi dia tetap tak sedarkan diri," kata Mashita Mohammad Noor.

Mashita, 47, yang turut terbabit dalam kemalangan jam 6.30 pagi itu tadi mendakwa pemandu bas berkenaan tertidur, selain memandu laju sebelum terbabas.

Beliau dan ibunya, Mahherine Mohd Ali, 66, menaiki bas berkenaan dari Sungai Nibong, Pulau Pinang sebelum terbabit dalam kemalangan di Kilometer 436 berhampiran Hentian Sebelah Rawang.

MASHITA menceritakan saat cemas beliau menyelamatkan ibunya yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 436 berhampiran Hentian Sebelah Rawang, pagi tadi. - Foto Yazit Razali

Mashita berkata, hatinya mula tidak tenteram ketika diarahkan untuk menukar bas lain di Sungai Nibong, kononnya bas dinaiki itu sudah penuh dengan penumpang.

"Kira-kira lima minit sebelum terbabas, bas sudah melelong ke kiri dan kanan. Masa itu, saya memang istighfar harap tiada yang buruk berlaku.

"Malangnya, bas terjunam ke kiri jalan dan saya tersepit di kerusi bersebelahan tingkap. Saya cuba pecahkan tingkap menggunakan kayu dalam bas selepas gagal kejutkan mak.

"Masa nak selamatkan diri, ada penumpang lain yang menjerit minta tolong tapi saya tak berdaya kerana rasa sesak nafas," katanya.

Mashita yang mengalami cedera ringan di kaki dan tangan berkata, ibunya menghidap sakit jantung, darah tinggi serta kencing manis.

Berita Harian X