Ahad, 19 Julai 2015 | 12:04am

PAC mahu hasil siasatan diterima rakyat


SEBELUM ini, kewujudan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) boleh dianggap kurang mendapat perhatian serius daripada masyarakat. Malah tidak dinafikan, ramai sebenarnya yang tidak begitu faham fungsi sebenar PAC.

Namun apabila timbul pelbagai isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), PAC kini menjadi tumpuan masyarakat, bukan saja di negara ini, malah di peringkat antarabangsa.

Hakikatnya, bukan 1MDB saja yang disiasat PAC, bahkan banyak lagi kes membabitkan isu salah urus tadbir seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara disiasat jawatankuasa ini.

Justeru, kemampuan Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengetuai jawatankuasa itu turut menjadi tumpuan masyarakat. Ramai juga yang mempersoalkan kebolehan Nur Jazlan, yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor, menggalas tugas itu dengan adil.

Ikuti penjelasan Nur Jazlan mengenai perkara ini dalam temu bual eksklusif bersama wartawan BH, MOHD ANWAR PATHO ROHMAN, baru-baru ini.

 


PENGERUSI Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed. - Foto Aziah Azmee

Soalan (S): Nampaknya, PAC dan Datuk kini menjadi entiti serta individu yang menjadi tumpuan, khasnya apabila timbul isu membabitkan 1MDB. Bagaimana Datuk menyerap tekanan ini?

Jawapan (J): Mudah sahaja. Kalau menjadi Pengerusi PAC, kita perlu tenang, 'neutral', berbaik sangka dan paling penting perlu bijak menguruskan ahli PAC yang turut dianggotai Ahli Parlimen pembangkang. Apa yang perlu difahami, PAC berfungsi untuk menyiasat, mengumpul maklumat dan menghasilkan laporan urusan kewangan negara dan memastikan pengurusan serta pentadbiran kewangan negara ditadbir secara telus, baik dan sempurna.

Sebagai pengerusi, saya perlu tenang, memiliki ilmu dan paling penting memahami isu yang timbul, apatah lagi jika ia membabitkan latar belakang kewangan. Sebagai contoh, dalam isu 1MDB, saya memerlukan kemahiran dan ilmu yang tinggi untuk mempengerusikan mesyuarat. Kalau pengerusi sendiri tidak faham, bagaimana dia hendak kawal mesyuarat.


PENGERUSI Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. - Foto Mohd Yusni Ariffin

S: Masyarakat umum bagaikan mempunyai persepsi negatif terhadap PAC. Ia dianggap sebagai entiti yang tidak memiliki apa-apa kuasa atau 'taring' untuk mengambil tindakan. Apa pandangan Datuk?

J: Mereka perlu faham, PAC ditubuhkan di bawah bidang kuasa Parlimen. Bagi saya, memang tidak patut PAC memiliki kuasa eksekutif seperti agensi lain umpamanya polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). PAC ini umpama audit dalaman syarikat tetapi ia bertanggungjawab kepada rakyat kerana kuasanya datang dari rakyat. Dalam PAC, ada wakil rakyat pembangkang yang menjadi anggota. Bukan wakil rakyat kerajaan saja. Maka, suara rakyat dipelihara dalam PAC. Taring PAC sebenarnya muncul apabila timbul rasa kebimbangan saksi yang dipanggil memberi keterangan. Walaupun tidak mengangkat sumpah, saksi akan cuba bercakap benar. Ini kerana keterangan mereka direkodkan secara harfiah. Sekiranya kenyataan mereka bercanggah dengan orang lain dan mungkin menyalahi undang-undang, mereka boleh didakwa. Lazimnya, motivasi mereka (saksi) untuk tidak bercakap benar adalah lebih rendah apabila dipanggil PAC. Mereka tahu keterangan yang diberikan akan dibandingkan dengan keterangan saksi lain. Jika jawapan diberikan tidak sama, ia akan menimbulkan kejanggalan dan tanda tanya dalam siasatan di peringkat seterusnya oleh pihak berkuasa. Di situ datangnya taring PAC.

 

S: Adakah saksi komited menghadiri prosiding siasatan apabila dipanggil PAC.

J: Sepanjang pengalaman saya menjadi pengerusi, kebanyakan saksi tidak akan mengabaikan notis panggilan untuk hadir ke mesyuarat PAC. Prinsip PAC mudah. Kita hendak orang datang secara sukarela. Tetapi kalau berkeras, kita juga boleh berkeras. Selalunya, jika PAC panggil saksi, bermakna ia satu hal yang serius kerana ia akan membabitkan imej dan kewibawaan saksi terbabit. Jika saksi datang memberi keterangan, ia akan menjadi teladan kepada orang lain untuk menjalankan tanggungjawab dengan baik supaya dapat mengelak daripada dipanggil PAC. Ada saksi walaupun sudah bersara, mereka tetap datang apabila dipanggil untuk memberi keterangan. Dalam hal ini, jika saksi memang tiada apa perkara yang cuba hendak disembunyikan, maka lebih baik mereka tampil dan cakap secara terus terang. Kalau ada benda yang hendak disembunyikan, itu yang saksi perlu buat keputusan sama ada mahu bercakap benar atau tidak. Tapi risikonya tinggi kerana kenyataan mereka akan dibandingkan dengan saksi lain.


AHLI Parlimen Petaling Jaya Utara, Pua Kiam Wee. - Foto Rosela Ismail

S: Dalam keadaan tertentu, ada anggota PAC khasnya dari parti pembangkang yang gemar membuat kenyataan kepada masyarakat umum membabitkan isu yang sedang disiasat PAC. Boleh atau tidak?

J: Sepatutnya tidak boleh. Seperti Tony Pua. Beliau dikatakan kerap bercakap di luar mengenai isu 1MDB. Namun, jika diteliti, beliau sebenarnya sudah cakap isu 1MDB setahun sebelum siasatan PAC bermula. Kebanyakan perkara yang beliau katakan itu diperoleh daripada sumber luar seperti jawapan dalam Parlimen atau maklumat orang tertentu. Saya sudah pantau kenyataan yang keluar dari mulut dia dan didapati beliau tidak pernah gunakan maklumat yang diperoleh dalam sesi pendengaran atau soal siasat.

 

S: Tidakkah tindakan itu akan menjejaskan kredibiliti beliau sebagai anggota PAC?

J: Saya sudah tegur perkara ini. Malah, kami buat keputusan yang hanya saya saja akan mengeluarkan kenyataan mengenai prosiding siasatan yang kita buat. Itu tanggungjawab saya sebagai pengerusi. Tapi dia juga wakil rakyat dan ada hak bercakap. Dia tanya soalan dalam Parlimen, selepas itu dia hendak hebah di luar, itu hak dia.


BARANG bukti dibawa keluar dari ibu pejabat 1MDB di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

S: Apa cabaran besar dihadapi PAC hari ini?

J: Cabaran dihadapi kami ialah masyarakat hendak lihat PAC bertindak cepat. Orang banyak persoal PAC lambat mengambil tindakan seperti dalam isu 1MDB. Kita ada prosedur perlu dilaksanakan supaya laporan yang kita keluarkan itu berkualiti, berwibawa dan dipercayai. Orang tidak sabar dengan hasil siasatan PAC kerana terpengaruh dengan media sosial dan media dalam talian. Jika kita panggil saksi, mereka terus hendak tahu apa ketetapan PAC. Mana boleh begitu. Kami perlu panggil saksi lain. Hendak panggil anggota PAC bermesyuarat atau panggil saksi juga bukan mudah. Selain itu, PAC juga menghadapi tekanan hebat apabila isu 1MDB tercetus. Isu 1MDB kini sudah menjadi isu antarabangsa. Masyarakat antarabangsa kini menilai kemampuan PAC dan saya selaku Pengerusinya untuk menyiasat kes ini.

 

S: Baru-baru ini, timbul spekulasi mengatakan yang Datuk berpotensi untuk dilantik menjadi menteri dalam Kabinet Datuk Seri Najib Razak. Malah, ada blog tertentu meramalkan nama Datuk untuk dilantik menteri. Apa komen Datuk?

J: Itu hanya spekulasi. Akan tetapi, matlamat saya adalah biarlah saya menjadi Pengerusi PAC, menjalankan siasatan terutama dalam isu 1MDB sampai ia berakhir dan laporan siasatan dihasilkan. Saya lebih berminat tumpukan tugas sebagai Pengerusi PAC memandangkan isu 1MDB kini di bawah seliaan saya. Isu 1MDB sudah menjadi isu antarabangsa. Biar saya teruskan tugas sampai habis. Yang penting, laporan dihasilkan PAC nanti termasuk dalam isu 1MDB diterima rakyat majoriti. Lagi pun, ini kali pertama Pengerusi PAC disandang oleh akauntan profesional yang bertauliah. Sebelum ini, Pengerusi PAC memiliki kepakaran dalam bidang lain. Justeru, saya sebagai akauntan profesional memikul tanggungjawab berat untuk mencapai standard yang lebih tinggi. Ini akan memberi sandaran kepada PAC untuk mengeluarkan laporan telus dan cekap. Saya akan gunakan pengalaman dalam politik, bidang akauntan dan korporat untuk mengemudi PAC terutama dalam isu 1MDB. Saya anggap ini peluang terbaik untuk saya membuktikan kewibawaan saya sebagai Pengerusi dan bekerjasama dengan ahli anggota PAC dari pembangkang dan kerajaan. Ini satu penghormatan kepada saya kerana bulan ini, genap dua tahun saya dilantik sebagai Pengerusi PAC.

Berita Harian X