Sabtu, 18 Julai 2015 | 5:42pm

'Keluarga jalanan' rasai nikmat Hari Raya

KEDATANGAN Syawal bagaikan tiada erti buat golongan gelandangan di ibu kota, ia umpama seperti hari-hari biasa buat mereka.
Rata-rata mereka hanya berehat di sepanjang lot kedai ketika sambutan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini.
- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Agak sunyi Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada malam itu, tidak seperti hari-hari sebelumnya sepanjang Ramadan yang meriah dengan gelagat peniaga dan kesesakan lalu lintas bertali arus.

Gemerlapan lampu daripada deretan gerai berdekatan dengan pasar Chow Kit ini mahupun bunyi hon kereta membingitkan suasana juga sudah tidak kelihatan dan kedengaran lagi.

Kebanyakan warga kota, tidak kiralah tempatan dan juga warga asing, sudah pulang beraya di kampung.

Dalam suasana agak sunyi itu, berlainan pula keadaannya di satu lorong belakang yang terletak di antara Tune Hotel dan Bank CIMB, berhampiran persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail.

Siap berbaju Melayu teluk belanga dan cekak musang, ada bersamping bagi lelaki manakala wanita pula berbaju kurung dengan rambut didandan cantik.

Di lorong belakang itu, yang tidak mempunyai nama dan juga jalan mati, mereka bagai menantikan sesuatu. Itulah senario setiap kali Pertiwi Soup Kitchen turun padang meraikan Hari Raya bersama golongan gelandangan.

KEDATANGAN Syawal bagaikan tiada erti buat golongan gelandangan di ibu kota, ia umpama seperti hari-hari biasa buat mereka.
Rata-rata mereka hanya berehat di sepanjang lot kedai ketika sambutan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini.
- Foto BERNAMA

Pengasas dan Pengerusi Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Abdul Hamid, berkata golongan itu tidak seperti lazimnya, berpakaian comot, tidak berhias pada hari biasa.

Seperti yang lain, kebanyakan golongan gelandangan juga tidak melepaskan peluang bergaya bagi menyambut perayaan Hari Raya.

Suasana agak meriah walaupun tidak ada rumah dan sekadar menyambut perayaan selepas sebulan menunaikan ibadat puasa secara sederhana di kaki lima.

Itu, sudah pun membuatkan mereka bersyukur dan merasai masih ada lagi insan yang menghargai golongan terpinggir itu.

Mungkin, bagi segelintir masyarakat yang bukan dalam kelompok itu tidak dapat lari daripada memandang jijik lorong yang menjadi pemisah antara bangunan sebuah hotel dan juga bank ini.

Namun, tidak bagi golongan gelandangan. Ia diibaratkan sebagai rumah untuk mereka bertemu dan mendapatkan bantuan makanan daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi meneruskan kehidupan.

Rubiah, antara gelandangan yang tidak melepaskan peluang untuk membawa anaknya merasai nikmat Hari Raya, pada majlis yang dianjurkan oleh NGO itu.

"Kami pun teringin hendak beraya, tetapi tidak mampu. Gaji suami kecil, tidak cukup duit bayar sewa rumah dan berhias cantik-cantik untuk Hari Raya.

"Kesian dengan anak-anak yang tidak pernah merasai nikmat berhari raya. Tetapi, kami gembira apabila Pertiwi Soup Kitchen menganjurkan program seperti ini. Dapatlah anak-anak merasa," kata Rubiah.

Sudah dua tahun menjadi warga gelandangan, kawasan sekitar Chow Kit, bangunan Daya Bumi dan bawah jambatan di sekitar ibu negara adalah antara tempat wanita dan keluarga itu tumpang berteduh.

Ketika ditanya tidak adakah saudara-mara atau keluarga, ibu kepada dua orang anak yang berusia lima tahun dan setahun 10 bulan itu berkata, beliau seorang yatim piatu dan tidak ada adik-beradik lain.

"Kehidupan kami agak daif. Disebabkan itulah, Hari Raya buat kami sekeluarga tidak ada bezanya dengan hari-hari lain. Namun, kami dapat berbaju raya atas pemberian orang ramai.

"Ia mungkin pakaian yang tidak lagi digunakan, tetapi kami sangat teruja dengan pemberian itu. Anak-anak dapatlah memakai baju raya," katanya.

Kegirangan jelas terpancar di wajah anaknya apabila dapat menikmati juadah raya kerana mereka, kata Rubiah, tidak pernah merasai keenakan lemang, ketupat dan pelbagai lagi jenis biskut.

Bagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Watie pula, kekecewaan perkahwinan yang hanya mampu bertahan selama enam tahun membuatkannya nekad membawa diri ke Kuala Lumpur untuk mengubah nasib.

Namun, percaturannya itu silap dan menjadi episod duka dalam kehidupan apabila terpaksa hidup sebagai gelandangan akibat ditipu majikan yang sudah beberapa bulan tidak membayar gaji.

GELANDANGAN berehat di kaki lima di sepanjang lot kedai ketika sambutan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini. - Foto BERNAMA

"Saya ada keluarga di kampung, tetapi tidak mahu menyusahkan mereka. Mereka pun ada tanggungan sendiri dan saya pun ketika itu tidak ada duit untuk balik kampung.

"Macam-macam tempat saya tinggal, kali lima Kota Raya, Dataran Merdeka. Cuma, saya tidak berani tidur di bawah jambatan kerana ragam orang di situ semacam sikit," katanya.

Selama setahun lebih, anak kelahiran Sik, Kedah ini merasai kehidupan sebagai orang gelandangan sebelum akhirnya berjaya menyewa bilik melalui bantuan yang diterimanya daripada sebuah badan kerajaan.

Sepanjang tempoh itu, hanya linangan air mata menjadi peneman setia apabila tibanya hari lebaran. Namun, sumbangan orang ramai dan NGO yang tampil meraikan mereka menjadi pengubat luka.

Sudah enam tahun, Pertiwi Soup Kitchen menganjurkan program menceriakan golongan gelandangan sempena sambutan Aidilfitri dan tahun ini juga tidak terkecuali.

Ia antara program di bawah aktiviti 'soup kitchen', iaitu menyampaikan makanan kepada gelandangan di kawasan Chow Kit, Kota Raya dan Masjid India.

Munirah berkata, juadah untuk Aidilfitri berbeza dengan juadah pada hari lain(Ahad, Isnin, Rabu dan Jumaat).

"Ketupat palas dan pelbagai lagi juadah raya disediakan. Aktiviti pemberian makanan ini telah bermula sejak tahun 2010 dan tidak pernah berhenti walaupun ia jatuh pada hari perayaan," katanya.

Bagi membangkitkan suasana kemeriahan, sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen juga tidak ketinggalan bergaya dengan pakaian raya.

Menariknya, mereka sudi meluangkan masa sebentar menggembirakan golongan gelandangan itu sedangkan malam raya pertama kebiasaannya orang lebih gemar berhimpun bersama keluarga di rumah.

"Selalunya, waktu malam sudah tidak ada apa-apa sangat. Yang sibuknya, siang hari sahaja. Selepas menyambut bersama keluarga, apalah salahnya kalau meluangkan masa untuk menghiburkan mereka?" katanya.

Munirah berkata, golongan gelandangan ada pelbagai kategori dan bukannya penagih dadah sahaja.

"Tidak salah kalau kita berkongsi sedikit kegembiraan menyambut lebaran dengan mereka. Ada antara mereka yang disisih keluarga, ada yang malu untuk pulang dan ada juga tidak mempunyai wang untuk berjumpa keluarga di kampung.

"Kita ini sudah dianggap sebagai 'keluarga mereka di tepi jalan'," katanya sambil berkata banyak lagi NGO lain yang turut mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti sempena hari perayaan. - BERNAMA

Berita Harian X