Jumaat, 17 Julai 2015 | 12:02am

Rawatan leher berkedut, menggeleber

Kulit pada bahagian leher lebih cepat menunjukkan tanda penuaan seperti kendur kerana tarikan graviti dan tiada struktur tulang yang memberi rangka kuat.

SAYA berusia akhir 40-an dan sangat mementingkan kecantikan serta sanggup berhabis duit untuk kelihatan ayu sempurna. Apabila dilihat dari luaran, kulit wajah saya tiada sebarang masalah kerana mengamalkan pemakaian produk dan mengambil vitamin selain kerap berkunjung ke pusat kecantikan untuk melakukan rawatan wajah.

Bagaimana memastikan kulit wajah sama dengan kulit leher? Adakah rawatan untuk menjadikan kulit leher tegang dan anjal?

Rosmaryliana Mohammad,

Cheras, Kuala Lumpur

Kulit pada bahagian leher sememangnya lebih cepat menunjukkan tanda penuaan seperti kendur kerana tarikan graviti dan tiada struktur tulang yang memberi rangka kuat yang mampu menegangkan kulit di kawasan terbabit berbanding kawasan muka seperti dahi dan pipi.

Perubahan warna pula boleh disebabkan faktor seperti pendedahan terhadap cahaya matahari, pengambilan pil hormon dan terapi penggantian hormon. Faktor keturunan juga memainkan peranan penting dalam penghasilan warna tidak sekata disebabkan perubahan hormon dalam badan.

Kesan penuaan menyebabkan lapisan kolagen menjadi nipis menyebabkan kedut mudah timbul. Malangnya dengan menyapu atau memakan produk makanan tambahan seperti kolagen sebenarnya tidak boleh mengganti kolagen yang hilang.

Prosedur untuk menjaga kulit sentiasa muda, merangsang pembentukan kolagen dan menghilangkan pigmentasi adalah antaranya, menerusi kaedah thermage, laser, benang halus yang diperbuat oleh Polydiaoxane (PDO) dan suntikan botulinum toxin (botox).

1. Rawatan thermage

Rawatan yang menggunakan keupayaan tenaga radiofrequency untuk menghilangkan garis-garis halus dan kedutan pada kulit. Istilah perubatan bagi thermage ialah Radiothermoplasty. Proses mengetatkan kulit dicapai apabila lapisan kolagen kulit dipanaskan oleh tenaga yang dihasilkan melalui proses radiofrequency. Selain mengetatkan kulit, ia juga menjadikan permukaan kulit licin dan lebih halus.

2. Rawatan menggunakan benang khas PDO

Rawatan ini menggunakan benang halus yang mudah resap tiada parut dan berkesan. Ia mampu mengangkat semula kulit yang kendur dengan membantu stimulasi kolagen di bawah kulit.

Teknologi ini mudah dan tiada kesan sampingan. Ia juga membantu mengangkat kulit wajah lebih tegang. Hasilnya juga cantik dan bertahan sehingga 18 bulan.

3. Laser

Laser CO2 atau Erbium (Pixel/Fotona) untuk merangsang pembentukan kolagen dan membuang pigmentasi epidermal agar kulit lebih tegang, gebu dan tona kulit lebih sekata. Lakukan kaedah ini untuk beberapa kali bagi mendapatkan hasil lebih memuaskan tanpa kesan sampingan.

4. Suntikan botox

Botox lazimnya digunakan pada bahagian muka. Bagaimanapun, untuk mendapatkan kesan yang sama, bagi masalah kedutan leher dan menghilangkan garis-garis halus ia juga boleh dilakukan pada leher.

5. Penggunaan krim pelembap

Langkah pencegahan harus di amalkan seawal umur 20 tahun. Ini termasuk pemakaian krim yang disyorkan oleh doktor yang memberikan kesan penegangan kulit, elakkan pendedahan cahaya matahari, penggunaan losyen ultra lembayung (UV) atau pelembap untuk mencegah penuaan yang disebabkan sinar matahari. Ia juga dapat mengelakkan warna kulit leher tidak sekata.

Amalkan pemakanan seimbang yang kaya dengan kolagen supaya kulit tidak dimakan usia.

Berita Harian X