Khamis, 16 Julai 2015 | 7:59am

Pastikan juadah Aidilfitri bersih, berkualiti

Menjelang hari raya, tradisi rumah terbuka dengan sajian beraneka jenis dan rasa adalah senario biasa sambutan perayaan di Malaysia. Inilah masanya bagi kita berkumpul bersama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan untuk saling bermaafan dan mengeratkan silaturrahim.

Menu utama dihidangkan seperti lemang, ketupat, rendang dan buah-buahan, membuka selera hingga kita sering terlupa untuk memberi perhatian kepada kebersihan dan keselamatan makanan yang disedia dan dihidangkan.

Oleh itu, lazimnya, banyak kes keracunan yang berlaku akibat kelalaian kita sendiri yang boleh mengundang maut.

Tanggungjawab bagi penyediaan makanan biasanya dipikul oleh wanita. Sebagai seorang ibu/isteri/menantu/suri rumah tangga, kita haruslah bijak ketika memilih bahan mentah bagi masakan atau ketika membeli makanan. Jangan lupa, pilihan sentiasa terletak di tangan kita. Harga bukanlah faktor penentu kepada kualiti, makanan yang mahal dan eksklusif tidak semestinya berkualiti, dan sebaliknya. Makanan yang enak pula, tidak bermakna bersih, selamat dan berkualiti.

Persoalannya, bagaimana kita memilih makanan/bahan mentah bagi memastikan masakan yang dimasak adalah berkualiti? Salah satu caranya adalah dengan menyemak logo pensijilan yang dipaparkan di atas bungkusan produk makanan. Contohnya, logo MyGAP (Amalan Pertanian Baik), ia adalah skim pensijilan komprehensif bagi pematuhan standard subsektor tanaman, akuakultur dan ternakan.

Lebih yakin buat pilihan

Pensijilan MyGAP merujuk kepada Malaysian Standard (MS) yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) yang selaras dengan standard antarabangsa. Dengan logo MyGAP ini, kita akan lebih yakin dalam membuat pemilihan bahan mentah untuk makanan seperti sayur-sayuran, ikan dan daging untuk keluarga tersayang.

Selain itu, logo Halal juga tidak boleh dikompromi. Standards Malaysia telah membangunkan standard halal yang pertama di dunia pada tahun 2009. Sehingga kini, sebanyak lapan standard halal dalam Nilai Rangkaian Makanan Halal (Halal Food Value Chain) yang meliputi kebersihan, logistik, pembungkusan, penyimpanan, peruncitan dan keselamatan telah dibangunkan dan dirujuk oleh JAKIM dalam pensijilan Halal. Standard halal kita adalah berdasarkan konsep 'Halalan Toyyiban' iaitu komponen asas kebersihan dan keselamatan selain memenuhi keperluan syariah.

Selain itu, Kementerian Kesihatan telah melancarkan Program Jaminan Keselamatan Makanan Malaysia melalui pensijilan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) yang menjadi keperluan minimum keselamatan bagi industri pemprosesan makanan. Logo pensijilan GMP (Good Manufacturing Practice) dan HACCP (Standard Hazard Analysis and Critical Control Point) yang berdasarkan MS juga dapat memberi keyakinan pengguna terhadap makanan yang diproses.

Semak label, tarikh luput

Selain logo Halal, MeSTI, MyGAP dan HACCP, pensijilan berdasarkan MS tertentu juga boleh menjadi panduan bagi pengguna dalam memilih bahan-bahan untuk memasak dalam menyediakan juadah pada Aidilfitri. Kandungan makanan seperti gula, lemak dan kalori yang dibekalkan melalui label makanan juga tidak boleh kita abaikan. Pastikan kita menyemak label, tarikh luput, dan logo-logo pensijilan itu ketika membuat pembelian.

Peniaga pula perlu sentiasa beretika dalam memastikan bahan mentah dan produk yang dikeluarkan terjamin keselamatan, kebersihan dan kualitinya. Air yang digunakan dalam masakan atau dijual mestilah dari sumber yang bersih dan suci. Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata, nyawa dan kesihatan pelanggan perlu diberi keutamaan.

Akhir kata, marilah kita meraikan Syawal tahun ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan dengan menerapkan budaya kualiti dalam kehidupan seharian. Janganlah kita membazir dan bermewah dengan menyediakan juadah dan makanan yang berlebihan. Kita patut bersederhana dalam apa juga perkara yang kita lakukan, termasuklah ketika musim perayaan, kerana bersederhana itu adalah dituntut dalam Islam.

Marilah kita raikan Aidilfitri tanpa kompromi ke atas standard dan kualiti. Semoga Syawal tahun ini memberikan seribu satu makna buat seluruh rakyat Malaysia. Sentiasa berhati-hati di jalan raya, pandulah dengan berhemah. Selamat menyambut hari raya, maaf zahir dan batin.

Berita Harian X