Rabu, 15 Julai 2015 | 6:52pm

Pelihara keharmonian, jauhi perilaku undang permusuhan - TPM


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh rakyat memelihara keamanan dan keharmonian negara dengan menjauhi perilaku yang boleh mengundang permusuhan sesama Islam mahupun bukan Islam.

Dalam ucapan khasnya sempena Aidilfitri tahun ini, Timbalan Perdana Menteri mahu rakyat tidak mudah terpengaruh dengan suara yang menghasut untuk bergaduh sesama sendiri dan mencetuskan perbalahan.

Beliau turut menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang mengutamakan persaudaraan, yang menuntut umatnya supaya memiliki sikap hormat menghormati sesama insan.

"Jika kita dapat mengamalkan ajaran Islam yang sebenar ini, maka saya percaya bahawa kita akan dapat mengekalkan keharmonian dan keamanan negara kita yang berbilang kaum dan agama.

"Sesuai dengan Ramadan dan semangat Idulfitri, marilah kita kekang nafsu amarah kita dan berlapang dada untuk bermaafan serta memperkukuh ikatan persaudaraan dan perpaduan sesama rakyat," katanya seperti dipetik menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Dalam ucapannya itu juga, Muhyiddin turut berkongsi ingatan mengenai kepentingan dan hikmah Ramadan yang melatih umatnya bukan hanya mengekang hawa nafsu semata-mata, malah memberi tumpuan mentaati perintah yang maha Esa.

"Dalam kehidupan kita seharian banyak godaan nafsu yang perlu kita jauhi untuk membina satu kehidupan yang bahagia dan sejahtera. Dalam mengejar kekayaan, jangan biarkan diri kita dikuasai nafsu tamak dan haloba.

"Dalam melaksanakan amanah dipertanggungjawabkan kepada kita, jangan kita melakukan penyelewengan atau pecah amanah. Dalam menjalankan kuasa yang ada pada kita, jangan kita berlaku zalim dan tidak adil sesiapa," katanya.

Beliau menjelaskan, semua itu penting untuk menjamin kerukunan dan kebahagiaan hidup umat Islam di dunia dan akhirat.

Muhyiddin yang akan mengadakan Rumah Terbukanya pada hari raya kedua di Pagoh, Johor, turut menasihati warga kota yang akan pulang berhari raya di kampung halaman, mematuhi undang-undang jalan raya, bersabar, menjaga keselamatan diri, keluarga serta pengguna lain.

11 dibaca
Berita Harian X