Rabu, 15 Julai 2015 | 1:22pm

Henti pertikai integriti, wibawa pasukan siasat 1MDB - JKMR

bhonline@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menggesa semua pihak menghentikan segala kenyataan yang cuba mempertikaikan integriti, kewibawaan dan keanggotaan Pasukan Petugas Khas yang terbabit dalam siasatan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang, mahu peluang diberi kepada Pasukan Petugas Khas melaksana dan menyempurnakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.

Katanya, pasukan dibentuk itu adalah sebuah badan diwakili empat pemimpin tertinggi agensi utama negara, yang mampu dan berkeupayaan untuk membuat penyiasatan dengan teliti, bebas dan telus.

"Pasukan Petugas Khas ini sedang giat menjalankan tanggungjawab mereka untuk membuat penyiasatan dengan secepat yang mungkin.

"Semasa siasatan sedang berjalan, diharap semua pihak akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Pasukan Petugas Khas ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Zahar menjelaskan, pihaknya berpendapat bahawa kes 1MDB yang sedang disiasat oleh pasukan berkenaan sekarang adalah satu kes yang amat penting dan serius demi kepentingan negara.

Dalam pada itu, JKMR katanya, berasa terkilan dan kecewa dengan kenyataan dikeluarkan Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) kelmarin, mendakwa kononnya siasatan dijalankan pasukan itu bertujuan melindungi perkara yang sebenarnya.

"Dakwaan ini adalah kenyataan berniat jahat dan tidak bertanggungjawab. JKMR berpandangan kenyataan yang dibuat bukan saja tidak bertanggungjawab, malah satu fitnah dan tohmahan yang tidak berasas sama sekali," katanya.

Berita Harian X