Isnin, 13 Julai 2015 | 1:29pm

Universiade: Malaysia selamat maruah, benam Taiwan 3-2


PEMAIN Malaysia, Sharul Azwari mengasak pemain Chinese Taipie dan menjaringkan gol pertama pada perlawanan klasfikasi tempat 15/16 Sukan Universiti Dunia (Universiade) Gwangju Korea Selatan 2015 di Stadium Awam Jeongeup Gwangju. - Foto Hasriyasyah Sabudin.

KUALA LUMPUR: Selepas tiga kekalahan berturut-turut, skuad bola sepak Malaysia di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015, Gwangju, Korea Selatan akhirnya melakar kemenangan selepas menundukkan Taiwan 3-2, hari ini.

Kemenangan pada perlawanan terakhir penentuan tempat itu menyaksikan Malaysia yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee berjaya mengelak daripada menamatkan saingan di kedudukan tercorot pada kempen Universiade kali ini di tempat ke-15.

Begitupun, Malaysia terpaksa bangkit daripada ketinggalan apabila Taiwan terlebih dulu membuka tirai jaringan pada babak pertama menerusi Wang Ruei pada minit ke-35.

Ketinggalan 0-1 berakhir babak pertama, Malaysia menukar corak permainan dan berjaya memperoleh jaringan pertama menerusi penyerang, Sharul Azwari Ibrahim pada minit ke-56.

Gol kedua Malaysia pula dijaringkan Raslam khan Abd Rashid pada minit ke-67 sebelum Mohamad Faizat Mohamad Ghazali melengkapkan jumlah jaringan pada minit ke-75.

Ketika perlawanan tampak berakhir tanpa tambahan jaringan, Taiwan menghukum kealpaan pertahanan negara dengan meledak gol kedua pada masa kecederaan menerusi Ho Shen Yen.

Pada temasya sama di Kazan, Russia 2013, Malaysia menduduki tempat kelapan daripada 15 pasukan bertanding yang memberi tiket percuma ke Gwangju.

Begitupun kedudukan ke-15 daripada 16 pasukan kali ini dijangka memberi kesukaran buat Malaysia untuk layak ke edisi Universiade seterusnya.

Berita Harian X