Ahad, 12 Julai 2015 | 10:37pm
NUR Jazlan menyampaikan sumbangan pada Majlis Penyerahan Zakat kepada asnaf di PPR Taman Kempas Permai, di sini hari ini. - Foto Zain Ahmed

Siasatan PAC tidak bertindih dengan PPK - Nur Jazlan

JOHOR BAHRU: Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan dakwaan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak bertindih dengan siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK), kata Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sebaliknya, beliau berkata siasatan oleh PAC lebih kepada urus tadbir 1MDB manakala PPK melihat kepada 'money trail' (pergerakan kewangan) akaun syarikat itu.

"Kita sebenarnya bekerjasama, malah PAC sentiasa memberi sokongan kepada pasukan petugas khas untuk membantu kerja kita juga.

"Dan jika perlu apabila Pasukan Petugas Khas ini sudah selesai menjalankan siasatan, mungkin mereka dijemput ke PAC untuk memberi penjelasan mengenai kerja mereka," kata beliau ketika mengulas mengenai sama ada akan berlaku pertindihan siasatan antara dua badan itu.

Nur Jazlan berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat kepada asnaf di PPR Taman Kempas Permai, di sini.

Ditanya mengenai harapannya terhadap PPK, beliau berharap pasukan itu dapat menjalankan siasatan dengan adil tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Sekali gus dapat memberikan jawapan kepada rakyat untuk menangkis tohmahan dan tuduhan dibuat oleh The Wall Street Journal," katanya.

PPK itu terdiri daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Nur Jazlan berkata, PAC komited menjalankan tanggungjawab dengan memanggil ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas CEO serta pengarah dan bekas pengarah syarikat itu untuk hadir bagi memberi keterangan.

"Ini juga akan memberikan gambaran lebih lanjut mengenai urus tadbir di 1MDB," katanya.

Beliau juga melahirkan terima kasih kepada Ketua Audit Negara yang telah memberikan taklimat yang baik dan banyak maklumat, serta peluang bagi PAC untuk bertanya lebih lanjut pada masa akan datang.

- BERNAMA

Berita Harian X