Ahad, 12 Julai 2015 | 5:27pm

Nad Zainal selesa pakai tudung


PELAKON, Nad Zainal. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Kebelakangan ini Nad Zainal dilihat gemar mengenakan tudung. Malah imej itu turut dimuat naik di laman Instagram dan sesekali Nad dilihat mendedahkan rambutnya pula.

Tidak berniat untuk mengelirukan sesiapa, pelakon genit itu bagaimanapun mengakui belum bertudung lagi dan melihat gaya berkenaan bersesuaian dengan bulan Ramadan yang akan melabuhkan tirai tak lama lagi.

Pada masa yang sama, Nad turut mempromosikan jenama tudung Miss Wish Wardrobe.

"Saya memang belum ke arah itu. Tapi sejujurnya memang selesa memakai tudung. Banyak lagi yang saya mahu teroka dalam dunia seni," katanya.

Dalam sisi lain, biar pernah dikecewakan dalam percintaan, Nad tidak melihat itu sebagai noktah untuk dia tidak bercinta lagi.

Sebelum ini Nad pernah menjalinkan cinta dengan aktor Hefny Sahad dan Azwan Kombos. Kini Nad juga kian terbuka berkongsi gambar dengan jejaka yang dikenali sejak tahun 2007 tetapi rapat beberapa bulan lalu di laman Instagram. Lelaki itu dikenali dengan huruf pangkal F.

"Kami faham diri masing-masing. Walaupun pernah beberapa kali putus cinta saya tak serik. Soal jodoh sudah tertulis sejak azali. Saya tak pernah serik atau takut.

"Saya berharap hubungan saya dan dia kekal sampai bila-biar. Biar dia jadi yang terakhir buat saya.

"Pun begitu, saya belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat terdekat. Kalau ada jodoh saya dan dia, kami akan berkahwin juga," katanya yang baharu sahaja selesai penggambaran filem Aku Haus Darahmu di samping Zoey Rahman.

Dalam perkembangan lain, Nad kini sibuk menjalani latihan teater muzikal Maduku Kalut Returns yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 7 hingga 9 Ogos ini. Teater terbitan Mask Team itu turut dibintangi Jihan Muse, Sherry Al Hadad, Dafi Ismail Sabri dan Atoi Tohet.

Tiket boleh dibeli secara atas talian menerusi www.airasiaredtix.com dan dijual dengan harga RM35, RM45, RM65, RM85, RM105 dan RM155 (platinum).


NAD Zainal dilihat mendedahkan rambutnya di laman Instagram.

39 dibaca
Berita Harian X