Ahad, 12 Julai 2015 | 4:29pm

Mamat Exist dipenjara 6 bulan, satu sebatan gagal lapor diri


BEKAS penyanyi kumpulan Exist, Mamat. - Foto Yazit Razali

JOHOR BAHRU: Bekas penyanyi kumpulan Exist, Mamat dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal melaporkan diri di balai polis dalam tempoh pengawasan.

Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Allias.

Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan pengawasan polis selama dua tahun pada Ogos 2011 selepas tertuduh mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badannya, lima tahun sebelum itu. 

Dua tahun tempoh pengawasan polis itu berkuat kuasa 5 September 2011 hingga 5 September 2013 dan Mamat dikehendaki melapor diri di Balai Polis Tampoi, namun gagal berbuat demikian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Mohd Syazwan Syafiq Yahaya, manakala Mamat tidak diwakili peguam.

Pada Jun lalu, Mamat turut dikenakan denda sebanyak RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda selain berada dalam pengawasan polis selama tiga tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil dadah pada Mac lalu.

Berita Harian X