Sabtu, 11 Julai 2015 | 2:05pm

Wajibkan periksa DNA jika lewat buat MyKad


Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Undang-undang perlu digubal untuk mewajibkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap individu yang lewat membuat MyKad bagi mengekang penjualan sijil lahir kepada warga asing.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata keputusan DNA berkenaan dapat membuktikan dokumen yang digunakan untuk membuat MyKad adalah asli dan bukan dibeli.

Katanya, undang-undang ini akan memberi kuasa kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengarahkan seseorang yang lewat membuat kad pengenalan melakukan ujian DNA bagi memastikan dokumen digunakan adalah asli.

"Ini kerana, undang-undang sedia ada hanya meminta ibu atau bapa kandung menandatangani borang pengesahan bahawa individu yang lewat membuat kad pengenalan terbabit adalah anak kandung mereka.

"Ini membuka ruang kepada penipuan menerusi penjualan dokumen berkenaan, yang dengan sendirinya menyumbang kepada peningkatan warga negara ekspres di negara ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai penjualan sijil lahir bayi sudah meninggal dunia kepada pendatang tanpa izin.

Kebiasaannya, dokumen itu dijual bapa kandung kanak-kanak terbabit tanpa pengetahuan isteri dan ahli keluarganya.

Shahul Hamid berkata, ada lagi kes, ibu bapa didakwa melakukan penipuan mendaftarkan kelahiran bayi yang tidak pernah lahir menerusi pengesahan kelahiran yang ditandatangani ketua kampung.

"Dokumen itu kemudian dijual kepada warga negara asing. Ini perlu dibendung segera kerana menyumbang kepada peningkatan warga negara ekspres di negara ini yang dibimbangi menyebabkan kes jenayah meningkat," katanya.

Berita Harian X