Jumaat, 10 Julai 2015 | 10:52pm

Tiga karya terjemahan ITBM dilancarkan di Perancis


SEMASA berlangsungnya Seminar Pantun di Sidang Barbezieux di Perancis. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Tiga karya terjemahan terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dilancarkan hari ini di Barbezieux, Perancis oleh Datuk Bandar Barbezieux, Andre Meuraillon sempena Sidang Barbezieux yang bertemakan 'Menjejaki Henri Fauconnier dan Pantun'.

ITBM dalam satu kenyataan, menyatakan ketiga-tiga karya itu ialah 'Nurani Tanah Melayu' (terjemahan Sasterawan Negara Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh); 'Khazanah Melayu 250 Pantun' (250 Pantouns Le Tresor Malais iaitu buku pantun dwibahasa - himpunan dan terjemahan bahasa Perancis oleh George Voisset) dan 'Tales From The Deep Forest: The Very Curious Adventures of Kancil the Mouse Deer' karya George Voisset (terjemahan bahasa Inggeris oleh Renuga Naidu-Voisset).

Ketiga-tiga buku itu diberikan penghormatan untuk dilancarkan semasa pembukaan sidang itu.

Buku itu adalah inisiatif ITBM dalam memulihara dan memperbanyakkan khazanah perpustakaan dan kesusasteraan negara khususnya buku mengenai Malaysia dari luar negara.

Sidang Barbezieux buat julung kalinya menghimpunkan semua pengkaji dan komuniti pantun di Perancis diadakan khusus selepas 85 tahun penerbitan 'Malaisie' tulisan Henri Fauconnier.

Karya Fauconnier ini menjadi pencetus kepada perkembangan pantun di Perancis kerana diselitkan beberapa kerat pantun bahasa Melayu walaupun seluruh teks yang lain ditulis dalam bahasa Perancis.

- BERNAMA

11 dibaca
Berita Harian X