Jumaat, 10 Julai 2015 | 8:43pm

1MDB: Pasukan Petugas Khas tegaskan semua perkara berbangkit disiasat

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas hari ini menegaskan semua perkara berbangkit berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan disiasat dan kenyataan semua mereka yang berkenaan akan diambil.

Dalam kenyataan hari ini, pasukan itu menegaskan bahawa siasatan berhubung isu 1MDB dijalankan dengan telus, bebas dan profesional.

Malah, menurutnya, soal akaun isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga sudah diketahui oleh Pasukan Petugas Khas sebelum media mendedahkannya dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.

"Sehubungan itu, Pasukan Petugas Khas berharap semua pihak tidak mempersoalkan kewibawaan Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam mengendalikan tugas dan fungsi mereka dalam siasatan ini," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sementara itu, peguam Rosmah, Noorjahan Mohd Noor dalam kenyataannya malam tadi, berkata laporan Sarawak Report terhadap anak guamnya adalah serius, berniat jahat, tidak berasas dan tanpa bukti.

Beliau berkata, laporan palsu dan tidak bermoral itu hanya bertujuan mengganggu anak guamnya, selain menjejaskan kredibiliti beliau sebagai isteri Perdana Menteri.

Tegasnya, tuduhan yang mengaitkan anak guamnya dengan penyaluran dana 1MDB adalah tidak benar.

"Akaun bank seperti dinyatakan dalam laporan itu adalah akaun peribadi anak guam saya yang dibuka pada 1984 ketika beliau berkhidmat dengan Island & Peninsular Sdn Bhd (kini dikenali sebagai I&P Group Sdn Bhd).

"Tindakan membocorkan maklumat perbankan anak guam saya ini jelas menyalahi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758). Berikutan itu, saya menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) melakukan siasatan segera dan/atau dalam tempoh 72 jam terhadap kebocoran maklumat maklumat sulit akaun peribadi di bank terbabit," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X