Jumaat, 10 Julai 2015 | 6:30pm

Radhi teruja dengan album terbaharu OAG


RADHI OAG pada majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Wanita, keluarga dan Masyarakat di PWTC. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR : Penyanyi Radhi (OAG) melahirkan rasa teruja untuk kembali berkarya menghasilkan album terbaharu kumpulannya yang sudah lama tertangguh.

Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 38, berkata, tempoh enam bulan diambil atas persetujuan bersama isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri, 21, untuk beliau kembali bergerak aktif dalam bidang nyanyian dan memberikan sepenuh fokus kepada album terbaharunya.

"Selepas raya ini saya akan masuk studio untuk memberikan sepenuh fokus kepada album terbaharu. Sudah lama tertangguh sebenarnya album itu. Saya dan Ayu sudah membuat perjanjian untuk kembali aktif selepas enam bulan dia bersalin.

"Kini anak sulung pun sudah berusia lima bulan dan Insya-Allah selepas raya saya boleh memerah otak untuk album itu. Saya ingin berkongsi bersama umum lagu-lagu yang saya membesar dengan," katanya kepada BH Online.

Radhi mengikat ikatan perkahwinan bersama Ayu di masjid Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Jumaat, 4 April 2014. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Nur Aishah.

Sementara itu, Radhi turut berkongsi beliau tidak sabar menunggu tempoh dua tahun bagi mendapatkan hak penjagaan penuh anak pertamanya iaitu Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia sepuluh tahun hasil perkongsian hidup dengan dengan isteri terdahulu Shazlin Sharif.

Hasil perbincangan dengan bekas isteri, mereka berdua mencapai kata sepakat untuk memberikan hak penjagaan sepenuhnya kepada Radhi apabila kanak-kanak lelaki itu berusia 13 tahun.

"Buat masa ini saya hanya berjumpa dengan dia ketika hujung minggu dan apabila ada masa lapang. Kalau jadi nanti dia akan tinggal bersama saya namun jika dia memilih untuk tinggal bersama ibunya, saya tidak paksa.

"Saya tidak sabar menunggu dua tahun lagi untuk menjaga anak lelaki saya Rifdhi tinggal bersama-sama kami, sekarang umur dia baru 10 tahun dan perjanjian kami ialah sehingga umur dia 13 tahun iaitu apabila dia di tingkatan satu," kata Radhi.

Berita Harian X