Jumaat, 10 Julai 2015 | 5:29pm

Raya: Kerja di lebuh raya dihenti mulai esok


MOHAMAD bersama Fadillah (tiga dari kiri) melancarkan simbolik perasmian Plaza Tol Bandar Ainsdale, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan di lebuh raya negara ini, kecuali bagi kerja kritikal diberhentikan mulai esok sehingga 26 Julai ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata langkah itu bertujuan mengurangkan kesesakan di lebuh raya sepanjang perayaan Aidilfitri akibat kerja berkenaan.

Selain itu, katanya kenderaan berat dilarang menggunakan jalan raya dan lebuh raya selama empat hari, iaitu pada 14 dan 15 Julai serta 24 dan 25 Julai ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pembukaan persimpangan bertingkat dan Plaza Tol Bandar Ainsdale di Labu dekat sini, petang ini. Perasmian dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pembinaan persimpangan bertingkat di Lebuh Raya Utara-Selatan itu dilengkapi sebuah plaza tol berkapasiti 12 lorong, iaitu tujuh lorong keluar dan lima lorong masuk, termasuk lorong elektronik serta kemudahan surau dan tandas awam.

Plaza tol ini memudahkan pengguna lebuh raya yang menuju ke Sendayan, Labu, Bandar Enstek dan Gadong Jaya, sekali gus mengurangkan kesesakan di Plaza Tol Seremban.

Berita Harian X