Jumaat, 10 Julai 2015 | 12:04am

Pemindahan lemak remajakan kulit

SAYA berusia 47 tahun dan sudah kelihatan kedutan yang semakin ketara, selain kurang keanjalan kulit pada bahagian tertentu tubuh. Saya mencari kaedah alternatif yang semula jadi untuk mengatasi masalah penuaan dan tidak memberikan kesan sampingan.

Nurul Alina Azhar
Kota Damansara, Petaling Jaya

Masalah penuaan tidak dapat dielak. Cuma ia boleh dibantu dengan penjagaan dan rawatan bagi melewatkan proses penuaan pada kulit.

Pelbagai kaedah ada, antaranya rawatan pemindahan lemak sebagai alternatif semula jadi membantu individu mengekalkan keremajaannya, selain kehilangan jumlah lemak pada wajah mampu digantikan akibat kehilangan kolagen.

Prosedur kosmetik mengetatkan kulit atau mengisi garis dan kedutan yang lazimnya dilakukan menggunakan kaedah fillers sintetik boleh dilakukan dengan pengambilan lemak daripada badan sendiri dengan mudah.

Hanya ambil sejumlah kecil lemak (sel stem) yang dijumpai secara semula jadi dalam lemak yang dituai semasa pengambilan lemak daripada bahagian tertentu tubuh seperti paha, pinggul atau punggung, kemudian dipindahkan ke wajah selepas diberi ubat bius.


PROSEDUR kosmetik mengetatkan kulit atau mengisi garis dan kedutan lazimnya dilakukan menggunakan kaedah fillers sintetik. - Foto hiasan

Sel hidup mengintegrasikan dengan tisu yang sedia ada dan menjamin kelangsungan hayat sel dalam tempoh jangka panjang.

Prosedur itu tidak menyakitkan, cuma mengambil masa 40 minit dan boleh dilakukan dengan mengambil bius. Prosedur pemindahan lemak menghilangkan kedutan, garisan kasar, mengurangkan lekuk, lingkaran gelap di bawah mata dan menyempurnakan tekstur kulit. Keputusan sering dramatik dan amat semula jadi. Ia juga tidak mengubah bentuk wajah seseorang.

Sel stem membantu menjaga, menghidupkan lemak, merangsang kolagen dan tisu pembaikan yang rosak, sekali gus kulit kelihatan lebih muda, anjal dan berseri.

Penggunaan krim wajah untuk melembap dan mengurangkan garisan kasar gagal mengatasi masalah sepenuhnya, selain memerlukan kesabaran mendapatkan keputusan sempurna, berbanding kaedah perubatan moden (pemindahan lemak), wajah nampak muda dan anjal.

Suntikan lemak memberikan kesan serta-merta dan mampu dikekalkan jangka panjang. Keputusan memuaskan dan tiada kesan sampingan. Pemindahan lemak lebih sedekad lalu digunakan di Barat untuk rawatan kosmetik alternatif kepada pembedahan plastik.

Kekurangan sel stem akan mengakibatkan kulit wajah bertukar ton lebih gelap, kekeringan, kusam dan kurang anjal.

Pada usia 16 tahun hingga 27 tahun, taburan lemak dalam badan wanita masih berada di tempat yang sepatutnya. Lemak ini berada di lokasi strategik dan kelihatan cantik.

Lemak inilah yang mencantikkan payudara, punggung dan tempat tertentu seperti pipi dan dagu. Seterusnya, pada lingkungan 18 tahun hingga 28 tahun, setiap wanita memiliki struktur badan paling ideal, selain kulit yang halus mulus, licin dan segar bermaya.


SEL hidup mengintegrasikan dengan tisu yang sedia ada dan menjamin kelangsungan hayat sel dalam tempoh jangka panjang. - Foto hiasan

Bagaimanapun, memasuki usia 30 tahun keadaan mula berubah. Proses kematangan usia, graviti, tekanan mental dan fizikal akibat bersalin dan kerja seharian, menjadikan keindahan itu merosot sedikit demi sedikit.

Otot manusia menjadi semakin aktif, manakala lemak di tempat seperti dagu, pipi, punggung akan terhapus hari demi hari. Proses semula jadi ini seterusnya mengakibatkan kulit mulai kendur, timbul lekuk-lekuk pada permukaan wajah, selain pigmentasi yang semakin jelas bertompok.

Melalui prosedur pemindahan lemak ini, ia mampu mengembalikan semula kecantikan wanita apabila ruang kosong dan terjejas itu diisikan semula.

Pemindahan lemak bergantung kepada keperluan dan biasanya ia tidak melebihi antara tiga milimeter dan lima mililiter. Apabila pemindahan dilakukan di bawah permukaan kulit, sel stem seperti sel bayi yang akan menambah kuantiti sel yang kemudian menggandakan kuantitinya sebanyak 64 kali ganda.

Lemak sel stem yang terletak di bawah (asas) kulit itu mampu berkembang dan terus berganda dalam tempoh 27 hari.

Berbanding dengan kaedah rawatan lain seperti fillers dan botox, kaedah pemindahan lemak ini dianggap lebih selamat, selain tiada risiko barah kerana hanya menggunakan lemak sendiri.

Ini bermakna, risiko penolakan juga jarang berlaku kerana ia serasi dari segi biologikal sel tubuh kita. Ia boleh dipindahkan pada mana-mana bahagian bagi proses pemuliharaan.

Selain wajah dan payudara, pemindahan lemak juga boleh dilakukan pada bahagian tangan bagi mengisi semula lemak supaya urat yang timbul, berkedut dan kering dapat menyempurnakan tekstur kulit.

Berita Harian X