Khamis, 9 Julai 2015 | 12:16am
PENGARAH Bahagian Siasatan SPRM , Datuk Mohd Jamidan Abdullah. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Isu warga ekspres: Seorang lagi kakitangan JPN ditahan


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bagi membantu siasatan kes sindiket warga negara ekspres, awal pagi semalam.

Penahanan itu menjadikan dua kakitangan JPN selain seorang lelaki dan seorang seorang wanita yang diberkas ketika memproses MyKad baharu di Kota Kinabalu, Sabah, pada Sabtu lalu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah mengesahkan penahanan baharu itu dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, sumber memberitahu analisis mendapati sistem memproses dan mengeluarkan MyKad di luar premis JPN memerlukan kakitangan dalaman bagi mengeluarkan kad pengenalan berkenaan.

"Melainkan JPN membuktikan dan memaklumkan memang ada pihak luar dibenarkan atau diberi kuasa menggunakan sistem memproses dan mengeluarkan MyKad.

"Sebelum ini, JPN memaklumkan hanya jabatan itu sahaja yang mempunyai kawalan MyKad yang belum diproses. Natijahnya, semua MyKad yang dirampas daripada suspek semestinya dikeluarkan atau diperoleh daripada JPN sendiri," katanya.

Selasa lalu, Ketua Pengarah JPN, Datuk Sulaiman Keling dalam satu kenyataan media berkata, semua MyKad yang dijual kepada warga asing seperti didedahkan akhbar ini palsu dan tidak dikeluarkan oleh jabatan berkenaan.


Ketua Pengarah JPN, Datuk Sulaiman Keling

Isnin lalu, BH melaporkan kejayaan SPRM menahan tiga individu yang sedang memproses MyKad baharu di sebuah hotel di Kota Kinabalu untuk pelanggan mereka, seorang ahli perniagaan warga China yang membayar hampir RM1.3 juta untuk mendapatkan MyKad.

Mereka yang ditahan termasuk yang memiliki akses kepada sistem JPN dan syarikat pengeluar MyKad, manakala seorang lagi wanita yang dipercayai ejen pekerja asing.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis bersedia bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan berkenaan kerana isu menjual kerakyatan negara ini boleh diambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Katanya, pengkhianat negara yang mengancam keselamatan negara dengan menggodam, mencuri maklumat rakyat serta menjualnya kepada warga asing boleh diambil tindakan mengikut akta berkenaan.

"Sebelum ini, polis juga ada mengesan pemalsuan maklumat MyKad dalam operasi jenayah atau kesalahan trafik yang menunjukkan warga negara ekspres ini digunakan bagi tujuan penyamaran dan mengaburi pihak berkuasa.

"Pelik, jika ada dua MyKad yang aktif dalam rekod JPN dan dikesan menerusi saman, perkara ini perlu disiasat," katanya ketika diminta mengulas pendedahan tiga hari berturut BH berhubung kegiatan sindiket warga negara ekspres.

Selain itu, katanya, polis tidak berkompromi untuk menyiasat jika ada asas dakwaan mengatakan pihak pegawai kanan di JPN sendiri terbabit dalam kegiatan menjual kerakyatan kerana ia isu keselamatan negara.


KERATAN akhbar BH yang membongkar kegiatan kes sindiket warganegara ekspres.
Berita Harian X