Rabu, 8 Julai 2015 | 5:27pm

Wimbledon: Serena laung amaran pada Sharapova


AKSI Serena ketika bertemu Victoria Azarenka pada Kejohanan Wimbledon di London. - Foto AFP

LONDON: Serena Williams melaungkan amaran kepada Maria Sharapova menjelang pertemuan separuh akhir mereka pada Kejohanan Wimbledon, di sini, dengan menyatakan betapa dia bakal mempamerkan persembahan terbaik menentang musuh ketatnya itu nanti.

Serena dan Sharapova bakal berentap pada Khamis ini - dalam satu lagi pertarungan membabitkan dua seteru yang bermula di gelanggang utama pada 2004 dan terus membara lebih sedekad selepas itu.

Sharapova sebelum ini melakukan kejutan paling besar dalam sejarah Kejohanan Wimbledon kira-kira 11 tahun lalu, tatkala ketika usianya hanya 17 tahun, apabila menewaskan Serena pada final untuk merangkul gelaran pertama saingan Grand Slam.

Serena pula sudah pun memenangi semua empat pertemuan separuh akhir menentang Sharapova, selain menjinakkan lawannya dari Russia itu dalam saingan Wimbledon pada saingan 16 terbaik 2010 serta menewaskannya pada final Olimpik 2012 di gelanggang All England Club.

Sebelum mara bertemu Sharapova, Serena mengenepikan cabaran Victoria Azarenka 3-6, 6-2, 6-3 di peringkat suku akhir.

"Saya seronok beraksi menentang Maria. Saya fikir dia membantu saya mempamerkan persembahan terbaik.

"Saya terkenang betapa kami pernah beraksi baik di final Terbuka Australia. Ia sangat menghiburkan," kata Serena yang kini dalam buruan untuk memenangi semua kejuaraan Grand Slam dalam saingan semusim.

"Saya tidak berasakan berdepan sebarang tekanan untuk menghadapi perlawanan ini.

"Ia berbeza sama sekali. Saya tidak ada apa yang ingin dibuktikan lagi. Saya sudah memenangi semua kejuaraan Grand Slam dan ia sudah banyak kali. Saya datang ke sini untuk berseronok.

Sementara itu, Sharapova mara ke separuh akhir, iaitu pertama sejak 2011, selepas menundukkan Coco Vandeweghe, 6-3, 6-7 (3/7), 6-2 .

Satu lagi saingan separuh akhir wanita adalah antara pemain pilihan ke-20 dari Sepanyol, Garbine Muguruza dan pilihan ke-13 dari Poland, Agnieszka Radwanska.

INFO

Laluan Serena dan Sharapova sebelum mara ke separuh akhir

SERENA WILLIAMS

Pusingan

1 - mn Margarita Gaspariyan (RUS) 6-4, 6-1

2 - mn Timea Babos (HUN) 6-4, 6-1

3 - mn Heather Watson (GBR) 6-2, 4-6, 7-5

4 - mn Venus Williams (USA x16) 6-4, 6-3

Suku akhir - mn Victoria Azarenka (BLR x23) 3-6, 6-2, 6-3

MARIA SHARAPOVA

Pusingan

1 - mn Johanna Konta (GBR) 6-2, 6-2

2 - mn Richel Hogenkamp (NED) 6-3, 6-1

3 - mn Irina Camelia Begu (ROM) 6-4, 6-3

4 - mn Zarina Diyas (KAZ) 6-4, 6-4

Suku akhir - Coco Vandeweghe (USA) 6-3, 6-7 (3/7), 6-2

Laluan Garbine Muguruza dan Agnieszka Radwanska mara ke separuh akhir

GARBINE MUGURUZA

Pusingan

1 - mn Varvara Lepchencko (USA) 6-4, 6-1

2 - mn Mirjana Lucic-Baroni (CRO) 6-3, 4-6, 6-2

3 - mn Angelique Kerber (GER x10) 7-6 (14/12), 1-6, 6-2

4 - mn Caroline Wozniacki (DEN x5) 6-4, 6-4

Suku akhir - Timea Bacsinszky (SUI x15) 7-5, 6-3

AGNIESZKA RADWANSKA

Pusingan

1 - mn Lucie Hradecka (CZE) 6-3, 6-2

2 - mnt Ajla Tomljanovic (AUS) 6-0, 6-2

3 - mn Casey Dellacqua (AUS) 6-1, 6-4

4 - mn Jelena Jankovic (SRB x28) 7-5, 6-4

Suku akhir - mn Madison Keys (USA x21) 7-6 (7/3), 3-6, 6-3

- AFP

Berita Harian X