Rabu, 8 Julai 2015 | 10:37am

Isteri Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Perlis meninggal dunia

KANGAR: Datin Syarifah Salmah Syed Abdullah, 68, isteri Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Perlis, menjadi mangsa pertama kencing tikus di negeri ini, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Menurut Datuk Ahmad Jusoh, 72, isterinya meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang setelah dirawat di HTF selama enam hari.

"Doktor yang memeriksa pada awalnya mengesyaki Allahyarham menghidap demam denggi tetapi kemudian disahkan terkena kencing tikus," katanya semasa ditemui pagi ini.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Taman Sena Indah di sini malam tadi.

Mufti kerajaan Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mengimamkan solat jenazah di Masjid Negeri Arau sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Lama Arau bersebelahan Masjid Negeri pada 9.30 pagi tadi.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abd Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menziarahi jenazah Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak dan sebelas cucu.

- BERNAMA

24 dibaca
Berita Harian X