Rabu, 8 Julai 2015 | 12:23am
PENGARAH Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah. - Foto Mohd Yusni Ariffin
SAMAN trafik menunjukkan lima kenderaan didaftarkan menggunakan dua MyKad yang dimiliki oleh seorang pelanggan sindiket warganegara ekspres. - Foto NSTP

Kakitangan JPN antara ditahan


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang daripada tiga individu yang ditahan ketika memproses MyKad baharu di Kota Kinabalu, Sabah, Sabtu lalu, adalah kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

 BH difahamkan, hasil siasatan terperinci suruhanjaya itu mendapati beberapa lagi kakitangan JPN dipercayai turut terbabit dengan sindiket warga ekspres itu dan akan ditahan dalam waktu terdekat bagi membantu siasatan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah ketika mengesahkan penahanan kakitangan JPN itu, berkata menjual kerakyatan adalah kesalahan amat serius dan mengancam keselamatan negara yang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

"Ini antara kes paling rumit dibongkar kerana ia membabitkan rangkaian sindiket berbeza iaitu pemerdagangan manusia, warga ekspres, pekerja asing ghaib, penguat kuasa belot, serangan siber, jenayah komersial dan kontrak ekspres.

"Warga ekspres ini menyebabkan lambakan warga asing di negara ini semakin tidak terkawal. Amat memalukan apabila MyKad dijual dengan begitu mudah kepada rakyat asing. Ini satu lagi cara pemerdagangan manusia yang `dihalalkan'.

  "Inilah juga yang kita takuti jika kontrak ekspres berlaku dalam perbekalan sistem dan peralatan yang digunakan, belum lagi mengambil kira faktor 'botnet' (robot bersambung antara satu sama lain menerusi talian internet) yang dipasang pada pelayan data JPN," katanya kepada BH, semalam.


KERATAN akhbar BH melaporkan pembongkaran kegiatan menjual MyKad oleh SPRM.

Isnin lalu, BH melaporkan kejayaan SPRM menahan tiga individu yang sedang memproses MyKad baharu di sebuah hotel di Kota Kinabalu untuk 'pelanggan' mereka, seorang ahli perniagaan warga China.

Mereka yang ditahan termasuk dua lelaki yang mempunyai akses kepada sistem JPN dan syarikat pengeluar MyKad, manakala seorang lagi adalah wanita yang dipercayai ejen pekerja asing.

  Pelanggan China itu dipercayai sanggup membayar hampir RM1.3 juta untuk mendapatkan MyKad dan pasport Malaysia. Kadar berkenaan adalah kenaikan sehingga 900 peratus berbanding RM150,000 yang perlu dibayar ketika isu MyKad ekspres didedahkan BH, tahun lalu.

Sehubungan itu, ada dalam kalangan pelanggan sindiket warga ekspres yang memiliki MyKad tambahan, dikesan menggunakan sehingga lima kenderaan, disyaki untuk melakukan penyamaran identiti.

Maklumat itu diperoleh SPRM hasil penahanan tiga individu yang dipercayai mempunyai akses ke sistem pangkalan data JPN untuk memproses MyKad dan pasport Malaysia kepada warga China.

Sumber SPRM berkata, pemeriksaan mendapati seorang lelaki mempunyai saman trafik yang dikeluarkan terhadap nombor kad pengenalan berbeza, namun nama pemiliknya bersama cap jari dan butiran peribadi adalah sama.

"Siasatan lanjut mendapati dua nombor MyKad miliknya aktif dalam pangkalan data JPN. Satu nombor MyKad yang dikeluarkan pada tahun 1983 menunjukkan lelaki itu ada tiga kereta, manakala satu lagi nombor MyKad yang bertarikh tahun 1979, dia ada dua kereta.

"Saman ke atas lelaki itu dikeluarkan antara hujung tahun 2014 hingga Mei lalu atas pelbagai kesalahan, antaranya melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, nombor plat berhias dan cukai jalan tamat tempoh," katanya.


KERATAN akhbar BH melaporkan pembongkaran kegiatan menjual MyKad oleh SPRM.

Semalam, BH melaporkan pembongkaran kegiatan menjual MyKad oleh SPRM, turut menghasilkan penemuan mengejutkan apabila sindiket disyaki turut menjual dokumen penting itu kepada rakyat tempatan pada harga antara RM35,000 hingga RM200,000, dipercayai untuk tujuan jenayah atau mengelirukan pihak berkuasa.

Terdahulu pada Isnin lalu, akhbar ini mendedahkan pelanggan China dipercayai sanggup membayar hampir RM1.3 juta untuk mendapatkan MyKad dan pasport Malaysia, kenaikan sehingga 900 peratus atau RM150,000 berbanding tahun lalu kerana jaminan ketulenan dokumen terbabit.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, individu yang memiliki MyKad tambahan biasanya terbabit dalam aktiviti jenayah.

"Mereka mahu mengaburi pihak berkuasa dan menghilangkan jejak jenayah yang dilakukan. MyKad tambahan membolehkan mereka menyamar untuk melakukan jenayah dan penipuan.

"Berdasarkan pengalaman, saya dapati kelemahan sistem di JPN membuka ruang dan peluang kepada pembelot untuk meraih keuntungan hasil jualan dokumen penting. Saya berharap SPRM menyita pangkalan data sistem JPN sehingga siasatan selesai. Ini isu keselamatan negara yang serius," katanya.

Berita Harian X