HARAPAN untuk melihat lebih ramai anak muda menyuburkan seni warisan tradisional seperti makyung pasti saja mampu menjadi nyata jika persembahan Raja Besar Ho Gading yang dipentaskan di Panggung Budaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini dijadikan ukuran.
Panggung Budaya itu sendat dengan penonton yang turut digamatkan dengan gelak tawa sebagai reaksi terhadap dialog lucu yang dilontarkan oleh pelakon persembahan makyung di tengah pentas.
Diterajui oleh pelakon makyung terkenal yang juga Penolong Pengarah Kanan Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Rosnan Abdul Rahman, ia sebahagian acara Forum Seni tajaan PETRONAS dengan kerjasama Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI dan Nusa Centre.
Pensyarah UPSI, Mardiana Ismail, bertindak cemerlang sebagai pengarah persembahan. Mungkin pengalamannya yang banyak terbabit dalam bidang drama dan teater sama ada sebagai pelakon, pengarah mahupun dalam bidang pengurusan memberi kelebihan dalam menghidupkan persembahan pada malam itu.
Gabungan pelajar, pensyarah, nama besar
Mardiana yang pernah memenangi anugerah sebagai Pelakon Wanita Terbaik sempena Festival Teater Malaysia 2011 berpuas hati dengan komitmen pelakon yang menggabungkan pelajar, tenaga pengajar dan nama besar dalam seni persembahan makyung seperti Rosnan.
Makyung Raja Besar Ho Gading yang dipersembahkan dalam loghat Kelantan seakan tidak memberi masalah langsung kepada penonton yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar universiti yang berasal dari negeri selain Kelantan.
Raja Besar Ho Gading menceritakan watak yang terperangkap dengan rasa cemburu dan hasad dengki Raja Sulung dan enam adiknya terhadap Raja Bongsu yang mahu diberi mandat oleh Raja Besar memerintah negara Ho Gading.
Kisah cemburu, dendam dan hasad dengki dalam lingkungan istana hingga sanggup berbunuhan membawa mesej menarik dan sarat pengajaran. Cemburu ialah rasa yang melingkari perasaan manusia apalagi dendam yang boleh memburukkan hubungan sesama keluarga.
Raja Sulung, Raja Bongsu
Namun, sifat tidak melatah dan menerima rayuan Raja Bongsu yang berhati jernih membuatkan Raja Besar tidak menjatuhkan hukuman terhadap Raja Sulung dan adik-adiknya yang menolak Raja Bongsu ke dalam sungai.
Raja Bongsu diselamatkan Tok Peraih Sirih yang menemui anak raja itu terdampar di tepi sungai lalu membawanya pulang ke rumahnya. Peran Tua dan Peran Muda dikerah mencari Raja Bongsu dan akhirnya menemui kembali Raja Bongsu di rumah Tok Peraih Sirih.
Suntikan jenaka spontan dalam dialog ternyata menjadi dan menggamatkan panggung dengan ketawa dan menghiburkan, selain Raja Besar lakonan Rosnan cukup berjaya memukau khalayak menyaksikan teater tradisional berkenaan.
Modifikasi dialog yang menggelikan hati ialah penerokaan yang dilakukan Rosnan yang juga bertindak sebagai penulis skrip, demi mendekatkan seni warisan tradisional itu kepada khalayak termasuklah generasi muda.
Peran Muda, Tua
Persembahan itu dilengkapkan lagi dengan watak Peran Muda lakonan Abdul Wahab Othman yang juga Adiguru Makyung di Jabatan Seni Persembahan UPSI, manakala watak Peran Tua dibawakan oleh Husin Yusoff.
Pujian harus diberikan kepada seluruh krew persembahan termasuk pelakon dan pemuzik, malah Dekan FMSP, Prof Madya Zaharul Lailiddin Saidon serta PETRONAS yang sanggup menaja persembahan demi mengangkat seni warisan bangsa termasuk jikey dan mek mulong sebelum ini.