Selasa, 7 Julai 2015 | 9:19pm

RISDA-MARA taja anak pekebun kecil di luar negara


MOHD Shafie (empat dari kiri) pada majlis berbuka puasa bersama pekebun getah di perkarangan Masjid Kampung Kuala Perdik di sini, hari ini. - Foto Surianie Mohd Hanif

HULU LANGAT: RISDA akan bekerjasama dengan MARA bagi menaja 20 anak pekebun kecil seluruh negara untuk melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana muda di luar negara dalam pelbagai bidang strategik mulai tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata RISDA dan MARA akan menyediakan dana bernilai RM10 juta bagi menaja 20 anak pekebun kecil terbabit.

Beliau berkata, ini adalah kerjasama terbaru RISDA dan MARA untuk membantu meningkatkan taraf hidup peneroka dan pekebun kecil getah yang hidup dalam serba kekurangan dan daif serta tidak mampu menghantar anak mereka belajar di luar negara.

"Oleh itu RISDA dan MARA setuju menaja 20 anak pekebun kecil dari seluruh negara untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang strategik termasuk pengurusan ekonomi, kejuruteraan, perubatan dan bidang profesional lain.

"Kita juga akan menapis pelajar cemerlang berkenaan dari seluruh negara berdasarkan pangkalan data dan kriteria tertentu yang sudah ditetapkan MARA dan RISDA," katanya pada majlis berbuka puasa bersama pekebun getah di perkarangan Masjid Kampung Kuala Perdik di sini, hari ini.

Shafie berkata, pihaknya menganggarkan setiap pelajar berkenaan akan menerima tajaan biasiswa sebanyak RM500,000 setahun bergantung kepada jenis kursus diikuti di luar negara.

12 dibaca
Berita Harian X