Selasa, 7 Julai 2015 | 12:36pm
SEKITAR gotong-royong penyediaan bubur lambuk, asam pedas dan laksa Johor.

30,000 banjiri Bazar Syukur Selalu di Johor


30,000 pengunjung banjiri Bazar Syukur Selalu Johor.

KUALA LUMPUR: Seramai 30,000 pengunjung membanjiri Bazar Syukur Selalu yang diadakan di tempat letak kereta A, Angsana Johor Bahru Mall, Johor, Sabtu lalu.

Malah gerai jualan amal di bazar berkenaan berjaya meraih lebih RM10,000 yang kemudiannya diserahkan kepada anak-anak yatim daripada Persatuan Insani Darul Takzim.

Bazar itu bersempena dengan kempen Syukur Selalu yang diangkat sebagai kempen Ramadan dan Raya oleh Media Prima Berhad yang bertujuan menyebarkan mesej positif kepada rakyat Malaysia untuk melahirkan rasa keinsafan, bersyukur dan menghargai nikmat sempena bulan mulia ini.

Antara aktiviti menarik yang berlangsung di sekitar bazar itu adalah sesi gotong-royong untuk menyediakan juadah berbuka puasa oleh personaliti TV3 dan TV9.

Personaliti yang berada di gerai gotong-royong ini adalah Zaim Helmi Zaini (MHI), Hazrena Mohamed Kassim (WHI), Teh Syuhaida (WHI), Ezreena Amir Hamzah (TV3), dan Zuhairah Mustafa Al-Husin (Berita TV9).


ANTARA barisan selebriti yang terbabit di Bazar Syukur Selalu Johor.

Antara juadah disediakan adalah Asam Pedas Johor dan Laksa Johor, manakala bubur lambuk pula diagihkan secara percuma kepada pengunjung.

Selain itu, Duta Syukur Selalu tidak ketinggalan turun padang untuk bersama warga Johor, antaranya Ahmad Fedtri Yahya, Zara Zya, Shukri Yahaya, Izreen Azminda, Fizo Omar, Fadlan Hazim dan Kaka Azraff.

Malah pemenang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-29 iaitu Dayang Nurfaizah juga turut serta.

Bazar ini tidak lengkap sekiranya tidak terdapat pelbagai gerai untuk pengunjung mendapatkan makanan untuk menu berbuka puasa.

Oleh itu, 10 gerai diperkenalkan dengan diinspirasikan oleh nama rancangan Ramadan dan Raya yang bersiaran di TV3 dan TV9.

Gerai ini merupakan gerai jualan amal di mana setiap hasil kutipan akan diserahkan sepenuhnya kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih di acara berbuka puasa pada hari yang sama.

Selain gerai jualan amal dan gerai gotong royong, Bazar Syukur Selalu turut dimeriahkan dengan gerai Coca-Cola yang membawakan pelbagai aktiviti menarik.

Selain berpeluang mendapatkan set iftar secara percuma di tapak acara, pengunjung boleh membeli barangan berupa kemeja-T dan apron eksklusif Syukur Selalu di gerai Wow Bag Corner.

Malah patung Travelling Beruang juga dijual untuk mengisi Tabung Travelling Beruang MAKNA bagi pesakit kanser kanak-kanak.

Bazar Syukur Selalu pada hari itu turut dikunjungi Ketua Pegawai Operasi UDA Angsana Sdn Bhd, Mohd Nazri Jamiran yang menyerahkan cek bernilai lebih RM10,000 untuk diserahkan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima.


FARA Fauzana melayan peminat di gerai jualan barangan eksklusif

"Kami amat gembira kerana dapat bersama dengan penonton kami dengan lebih dekat menerusi Bazar Syukur Selalu yang diadakan di dua lokasi iaitu Pahang pada 27 Jun lalu dan di Johor. Lebih menarik kami akan membawakan barisan artis terkenal yang bakal menghiasi rancangan TV3 dan TV9 sempena Ramadan dan Raya ini.

"Selain bertemu dengan artis kesayangan mereka, pengunjung juga boleh membeli juadah berbuka puasa sambil beramal kerana semua hasil jualan akan diserahkan kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih," kata Cik Sherina Nordin selaku Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9

Tahun ini, Kempen Syukur Selalu membawakan kelainan dengan memperkenalkan Skuad Syukur Selalu iaitu pasukan vespa yang mengedarkan set iftar eksklusif untuk pengunjung bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang.

Selain itu penghasilan aplikasi Syukur Selalu yang boleh dimuat turun secara percuma untuk orang ramai mendapatkan maklumat seperti inti sari rancangan TV3 dan TV9, resipi, tips berfesyen, waktu imsak dan berbuka, keadaan trafik dan banyak lagi.

Aplikasi ini juga lebih interaktif kerana orang ramai boleh menyertai peraduan 'Kampung Gua Hebat' untuk menyumbangkan mata kepada negeri masing-masing dengan cara memuat naik foto untuk memenangi kunjungan rumah terbuka daripada pihak kami.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.tv3.com.my dan www.tv9.com.my.

Muat turun aplikasi mudah alih #SyukurSelalu hari ini dan ikuti info terkini kempen #SyukurSelalu.

Berita Harian X