Khamis, 18 September 2014 | 7:54pm
NILAI dan standard etika diperuntukkan kepada penjawat awam perlu diamal berulang kali. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Patuh nilai, etika perkhidmatan awam senjata capai kecemerlangan

Kenangan istimewa ketika mendengar seruan MERDEKA dengan kuat dan jelas diikuti dengan tepukan tangan yang kuat di padang Tawau pada 16 September 1963, hari Sabah mencapai kemerdekaan dengan tertubuhnya Malaysia, adalah sesuatu yang tidak dapat saya lupakan walaupun masa sudah lama berlalu dan saya hanyalah kanak-kanak pada masa itu.

Saya masih ingat bendera British, Union Jack diturunkan dan kemudian dinaikkan bendera Malaysia diikuti bendera Sabah. Saya bersama rakan sekolah menyanyikan lagu NegaraKu dan Sabah Tanah AirKu dengan penuh semangat dan perasaan bangga walaupun hanya berusia 12 tahun. Senyuman pada wajah penduduk yang mengibar bendera dan banner, jelas sekali. Sabah sedang menyambut kelahiran negara baharu dan kemerdekaannya daripada penjajahan.

Kini, sebagai seorang dewasa, apabila saya terkenang semula sambutan itu, saya lebih memahami mengapa begitu meriah sambutan itu dalam kalangan orang Sabah. Malaysia adalah rumah kita, negara kita dan kemerdekaan ini dipenuhi harapan dan peluang.

Dengan harapan itu, maka timbulnya tanggungjawab yang istimewa ke atas kerajaan, terutama dalam kalangan penjawat awam. Setiap penjawat kerajaan memainkan peranan penting dalam memberi harapan itu dan memastikan ia tercapai. Oleh itu, adalah penting mereka patuh kepada kerajaan yang memerintah.

Perkataan 'kerajaan', menurut American Heritage Dictionary of the English Language (Edisi Ke-3) bermaksud perbuatan ataupun proses memerintah, terutama pentadbiran dan kawalan dasar awam dalam sesebuah unit politik. 'Penjawat awam' merujuk kepada seseorang yang diberi jawatan untuk melakukan tugasan dan dalam konteks ini, demi kerajaan. 'Patuh' ataupun 'orang yang mematuh' bermaksud seseorang yang dari segi kapasiti ataupun fungsi, adalah seorang yang mengekspresi kepatuhan. 'Kerajaan yang memerintah' pula merujuk kepada parti politik yang memerintah.

Di bawah Artikel 132(1) Perlembagaan Persekutuan, perkhidmatan awam dan semua penjawat awam termasuk mereka di bawah perkhidmatan pendidikan adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang dibuat oleh kerajaan yang memerintah. Syarat perkhidmatan bagi mereka dalam kerajaan tertakluk kepada Artikel 132(2). Oleh kerana kerajaan yang memerintah mempunyai kawalan ke atas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Artikel 139), bidang kuasanya adalah ke atas setiap penjawat awam.

Oleh itu, kakitangan di Kementerian Pendidikan juga harus patuh kepada kerajaan dan tertakluk untuk mematuhi peraturan seperti terkandung dalam dokumen yang menyokong pernyataan bahawa setiap penjawat awam wajib mematuhi kerajaan yang memerintah.

Berkait rapat dengan kepatuhan kepada kerajaan adalah ikrar ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan serta aplikasi nilai dan etika seperti kepercayaan, tanggungjawab, ikhlas, komitmen, penyayang dan bersyukur. Nilai ini adalah antara contoh yang membentuk teras dan standard mutlak perkhidmatan awam.

Hukuman tak patuh peraturan

Bagi memastikan bahawa penjawat awam akur kepada standard perkhidmatan awam, Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Disiplin) 1993, di bawah Seksyen V1 (Hukuman Tatatertib), menyatakan hukuman yang boleh dikenakan ke atas kelakuan ataupun perbuatan yang didapati melanggar peraturan tertentu ataupun yang memburukkan imej perkhidmatan awam. Peraturan ini juga mengandungi prosedur untuk tindakan disiplin terhadap penjawat awam (Seksyen V: Prosedur Tatatertib).

Menggunakan dokumen di atas sebagai rujukan, pernyataan bahawa setiap penjawat awam wajib patuh kepada kerajaan yang memerintah tidak harus dipertikaikan. Oleh itu, bagaimanakah kepatuhan ini dapat diterapkan ke dalam setiap penjawat awam?

Kerajaan melihat bahawa jawapannya adalah dengan memastikan nilai dan etika yang sama diamalkan dan ethos serta kanun perlakuan penjawat awam diwajibkan. Nilai dan etika adalah senjata utama demi mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.

Nilai dan adat etika yang dipromosi dalam perkhidmatan awam Malaysia adalah berdasarkan tiga rasional:

Untuk menyediakan dan memberi arah tuju yang bermakna, memberi panduan dalam perbuatan, pemikiran dan perlakuan penjawat awam supaya mereka boleh memenuhi amanah dan tanggungjawab yang ditugaskan; mewujudkan integrasi dan koordinasi dalam kalangan penjawat awam demi membentuk institusi utama yang menyumbang kepada masyarakat; dan nilai serta etika perkhidmatan awam adalah standard mutlak dalam memotivasikan penjawat awam supaya berkhidmat demi negara dengan ikhlas dan cemerlang.

Berdasarkan kepada rasional itu, ada usaha yang berterusan untuk melahirkan penjawat awam yang bersih, cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab untuk memastikan dan menjayakan pelaksanaan dasar negara.

Bermula pada tahun 1970, Rukun Negara telah menyenaraikan lima prinsip penting kerakyatan untuk memupuk kelakuan baik dan nilai positif.

Pendekatan lain yang diambil untuk meningkatkan integriti perkhidmatan awam termasuk dokumen Panduan Perkhidmatan Cemerlang (1978); Sistem Clock-in (1981); Kempen Bersih, Cekap, Amanah (1982); Dasar Pandang Timur (1982); Penggunaan Tag Nama (1983); Kepimpinan Melalui Teladan (1988), Tatasusila Profesion Perguruan, Etika Kerja Kementerian Pendidikan Malaysia dan Wawasan 2020 (1991).

Penerbitan dan pekeliling seperti Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam, dan Buku Etika Kerja Islam 1987, Tonggak Duabelas dan Memartabatkan Integriti Perkhidmatan Awam Malaysia berperanan sebagai peringatan.

Jika dipraktikkan secara berkesan, usaha ini seharusnya membawa kepada perkhidmatan awam dan keperibadian cemerlang.

Selepas diimbas semula, saya ingin katakan bahawa Kerajaan Malaysia berjaya membawa dan menjamin keamanan, uniti, stabiliti dan kesejahteraan dalam negara dari zaman kemerdekaan. Bagaimanapun, pihak kepemimpinan dalam perkhidmatan awam sedar bahawa keberkesanan usaha berkemungkinan tidak sampai ke setiap lapisan pentadbiran penjawat awam.

Peruntukan tindakan disiplin dan tatatertib seharusnya diaplikasikan dengan lebih ketat dan tanpa ketakutan ataupun berat sebelah untuk mencapai keputusan yang positif. Saya mencadangkan agar kita memberi komitmen kepada istilah 'jaminan etika' dan pemimpin menjadi teladan supaya penjawat awam di setiap peringkat menyedari betapa pentingnya jaminan etika ini. Ia juga boleh dipantau melalui audit dari semasa ke semasa.

Kerajaan harus dan akan terus berusaha untuk mencapai dan melestarikan standard etika yang tertinggi kerana sekiranya kita ingin bersaing dengan berjaya pada masa depan, kita harus memahami bahawa status 'bertaraf dunia' bukanlah dengan membina bangunan kelas pertama semata-mata.

Pentadbiran bertaraf dunia

Kita memerlukan, utama sekali, pengurusan dan pentadbiran bertaraf dunia. Perkhidmatan awam mempunyai pengaruh ke atas kesejahteraan dan perkembangan negara. Oleh itu, adalah mustahak supaya setiap penjawat awam patuh kepada kerajaan dengan mengamalkan nilai dan standard etika yang diperuntukkan dengan berulang kali.

Kecemerlangan bukanlah kelakuan semata-mata tetapi amalan. Kata-kata tokoh falsafah Confucius: "...sekiranya kita memimpin manusia dengan undang-undang dan menguatkuasakan peraturan dengan saman, tidak akan wujud perasaan malu. Sekiranya kita memimpin melalui teladan dan kemudian memberi kepada pengikut peraturan tatatertib yang sewajarnya, maka mereka akan membentuk perasaan malu dan menjadi rakyat yang bagus."

Marilah kita bekerjasama dan menyokong Perdana Menteri kita dalam merealisasikan Wawasan 2020 dan menjadikan Malaysia sebuah negara cemerlang, seperti disebut dalam lagu Oh Malaysia:

On the shore beyond the tropical sea (Pada pesisiran pantai melangkaui lautan tropika)

You will stand to welcome me (Akan kamu berdiri menyambut saya)

On the shore beneath the sky so blue (Pada pesisiran pantai di bawah awan biru)

All my dreams at last will come true (Kesemua impianku akan termakbul)

Oh Malaysia... land of glory (Oh Malaysia, tanah kegemilangan)

It's the place I find true love.. (Di sinilah saya menemui cinta sebenar)

Akhir kata, kepada semua rakyat Malaysia, semoga direstui pada Hari Malaysia pada 16 September 2014.

Penulis ialah Timbalan Menteri Pendidikan I

82 dibaca
Berita Harian X