Isnin, 6 Julai 2015 | 12:11am
ARTIKEL penulis bertajuk Bahaya Warganegara Ekspres Jadi Majoriti Penduduk.
Mykad yang dikeluarkan oleh sindiket warganegara ekspres.

RM1.3j untuk dapat warganegara ekspres, naik 900 peratus

wanti@bh.com.my  


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah, tengah malam kelmarin dan menahan tiga individu yang sedang memproses MyKad baru untuk 'pelanggan', seorang ahli perniagaan China.

Mereka yang ditahan termasuk dua lelaki yang mempunyai akses kepada sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan syarikat pengeluar MyKad, manakala seorang lagi adalah wanita yang dipercayai ejen pekerja asing. Mereka yang ditahan itu berusia 30 hingga 40 tahun.

Ahli perniagaan China itu dipercayai membayar hampir RM1.3 juta untuk mendapatkan MyKad dan pasport Malaysia.

Sumber berkata, serbuan dibuat menerusi Ops Warganegara Ekspres selepas risikan dan pemantauan berterusan kegiatan sindiket itu sejak Mei lalu.

"Ketika ditahan, sindiket itu sedang melakukan pengesahan cap jari pelanggan," katanya.

Dalam serbuan itu, SPRM turut menyita perkakasan unit pendaftaran mudah alih, termasuk komputer riba, pengimbas cap jari, cip MyKad dan perisian Tricube, selain pelbagai dokumen.


KERATAN akhbar BH mengenai pembongkaran isu warganegara ekspres. - Foto NSTP

"Modus operandi sindiket itu ialah bertindak sebagai orang tengah menawarkan warganegara ekspres kepada warga asing disasar seperti ahli perniagaan dan mereka yang ada kepentingan di negara ini.

"Setelah pelanggan bersetuju, gambar dan biodata akan diberikan kepada sindiket untuk proses MyKad. Sindiket itu kemudian berhubung dengan orang dalam di jabatan kerajaan untuk mengeluarkan MyKad.

"Malah, siasatan menunjukkan MyKad ibu dan bapa pelanggan juga akan disediakan bagi mengesahkan kewujudannya di negara ini," kata sumber itu kepada BH.

Tahun lalu, wartawan BH yang menyamar sebagai isteri majikan warga asing membongkar satu sindiket di Sabah yang menguruskan warganegara ekspres pada harga RM150,000.

Menurut sumber, siasatan mendapati sehingga sekarang sindiket itu sudah menguruskan MyKad untuk kira-kira 15 pelanggan, membabitkan ahli perniagaan dari Indonesia, Bangladesh dan China.

"Pembayaran dibuat dalam mata wang Amerika Syarikat (AS$) selepas MyKad ditempah siap," katanya kepada BH.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, mengesahkan tiga individu terbabit direman lima hari bagi membantu siasatan.


ANGGOTA sindiket memasukkan biodata dan gambar pelanggan dalam sistem JPN menggunakan perkakasan pendaftaran mudah alih. - Foto NSTP

"Ini adalah antara kes paling rumit yang berjaya diselesaikan kerana membabitkan isu pemerdagangan manusia, warganegara ekspres, pekerja asing ghaib, penguat kuasa belot, serangan siber dan kontrak ekspres.

"Warga asing sanggup membayar untuk MyKad kerana dokumen Malaysia diiktiraf pada peringkat antarabangsa kerana selamat untuk perjalanan ke negara ketiga.

"Kita juga sedang menyiasat kemungkinan mereka yang membeli MyKad turut menjalankan perniagaan haram di negara ini," katanya.


PELANGGAN sedang membuat pengesahan cap jari untuk proses MyKad ketika diserbu di sebuah hotel di Kota Kinabalu, malam kelmarin. - Foto NSTP

INFO:
Statistik 2013

  • 39,230 MyKad dilaporkan hilang sebulan.

  • 1,307 MyKad dilaporkan hilang sehari.



    INFO: Sebab warga asing ghaib
    1. Kahwin dengan Orang Asli
    2. Kahwin dengan orang tempatan
    3. Jadi warganegara ekspres
    4. Balik ke negara asal tanpa rekod
    5. Pindah sektor kerja tanpa rekod

  • Berita Harian X