Ahad, 5 Julai 2015 | 10:19pm

F1: Hamilton rekod kemenangan ketiga GP British


PELUMBA F1 daripada Pasukan Mercedes, Lewis Hamilton mengucup trofi kejuaraan Formula Satu Grand Prix British, hari ini. - Foto AP

SILVERSTONE: Juara dunia, Lewis Hamilton daripada pasukan Mercedes AMG PETRONAS menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix British buat tahun kedua berturut-turut, hari ini.

Lebih menggembirakan, rakan sepasukannya, Nico Rosberg menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.

Pelumba pasukan Ferrari dari Jerman, Sebastian Vettel pula melengkapkan kedudukan podium di depan pelumba Williams, Felipe Massa sekalipun menampilkan permulaan baik di awal perlumbaan.

Kemenangan menyaksikan Hamilton terus menjarakkan kedudukan mata kejuaraan kepada 17 mata di depan Rosberg dengan mengumpul 194 mata.

Selain itu, ia kemenangan ketiga buat Hamilton di laman sendiri serta kejuaraan kelimanya musim ini dan ke-38 sepanjang kariernya.

Massa yang memulakan perlumbaan di petak ketiga menamatkan perlumbaan di tempat keempat diikuti rakan sepasukannya, Valtteri Bottas, kelima.

Pemandu Russia, Daniil Kvyat daripada pasukan Red Bull-Renault menamatkan perlumbaan di tempat keenam diikuti Nico Hulkenberg (GER) Force India-Mercedes, ketujuh.

Perlumbaan GP British adalah pusingan kesembilan daripada keseluruhan 19 pusingan.

Lebih 140,000 peminat dilaporkan menyaksikan perlumbaan di Litar Silverstone itu yang menyaksikan Hamilton menyertai senarai legenda pelumba Britain selepas Jim Clark dan Nigel Mansell memenangi tiga perlumbaan di laman sendiri itu.

Berita Harian X