Ahad, 5 Julai 2015 | 6:39pm

Najib lawat link baharu di Semenyih


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak meneliti pelan projek ketika lawatan ke pembangunan projek jalan susur masuk Lingkaran Echohill, Semenyih hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

SEMENYIH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melakukan lawatan ke tapak Lingkaran Lekas-Ecohill Link yang baharu di sini yang dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sebanyak 50 peratus.

Najib, yang tiba pada jam 5.20 petang di tapak itu, diberi taklimat oleh Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen mengenai pembangunan bandar Setia Ecohill.

Link baharu itu yang dijangka dibuka kepada pengguna menjelang akhir bulan ini akan memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 52,000 penduduk kawasan Semenyih, Rinching dan Beranang dalam konteks memendekkan masa perjalanan antara Kajang dan Rinching/Beranang dari 15 hingga 30 minit.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia Bhd, Datuk Khor Chap Jen (kanan) ketika lawatan ke pembangunan projek jalan susur masuk Lingkaran Echohill, Semenyih hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

"Kerja-kerja memulakan projek ini bermula 15 November 2013 dan kerja-kerja pembinaan mengambil masa kira-kira 20 bulan untuk siap," kata Khor.

Beliau berkata, kira-kira 50 peratus daripada 75,000 kenderaan di sepanjang Jalan Semenyih dijangka menggunakan link baharu itu dan tidak perlu lagi menggunakan lencongan bandar Semenyih.

Jumlah nilai projek itu termasuk kos tanah ialah kira-kira RM80 juta. Ia merangkumi lebuh raya bandar dua lorong sepanjang 2.7km dengan peruntukan bagi tambahan tiga lorong pada masa depan. - BERNAMA

14 dibaca
Berita Harian X