Ahad, 5 Julai 2015 | 6:37pm

Universiade 2015: Harapan pingat emas memanah lebur


PASUKAN memanah negara, Faten Nurfatehah Mat Saleh (tengah) bersama rakan berpasukan Saritha Cham Nong (kiri) dan Norhayati al Maidihah Hashim beraksi acara compound berpasukan pada Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) 2015 di Pusat Memanah International Gwangju. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Gwangju: Taruhan pingat emas pertama negara di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 di Gwangju, Korea Selatan daripada sukan memanah musnah apabila kandas di pusingan separuh akhir.

Pasukan compound wanita negara yang dibarisi trio - Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Norhayati Al-Madihah Hashim dan Saritha Cham Ning sekadar mengumpul 223 mata, ketinggalan lima mata di belakang Russia di Pusat Memanah Antarabangsa Gwangju, hari ini.

Mereka bagaimanapun masih berpeluang membawa pulang pingat gangsa pada esok namun berdepan dengan tugas berat apabila bakal menentang tuan rumah, Korea Selatan.

Sementara itu, Mohd Juwaidi Mazuki juga kandas di pusingan separuh akhir compound individu lelaki apabila tewas kepada pemanah Korea Selatan, Kim Jongho dengan perbezaan tiga mata sahaja (145 mata-148 mata).

Juwaidi bagaimanapun melayakkan diri ke penentuan pingat gangsa pada Selasa ini berjumpa pemanah dari Belgium, Renaud Domanski.

Berita Harian X